Hari terbuka tentera laut semai semangat perwira

Iklan
Hari terbuka oleh pasukan keselamatan patut disokong oleh semua masyarakat kerana ia menyemai semangat keperwiraan yang tinggi dan perasaan cinta kepada negara. - Foto Bernama

HUJUNG bulan lepas, Merak Jalanan berpeluang masuk ke kem tentera laut sempena Hari Terbuka Armada Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut.

Hari terbuka yang berlangsung selama tiga hari itu memang dinantikan oleh masyarakat luar kerana sudah dua tahun tidak diadakan susulan Covid-19.

Iklan
Iklan

Seawal jam 7 pagi, telah kelihatan deretan kenderaan awam menunggu di luar pintu masuk pangkalan berkenaan. Dikatakan jumlah pengunjung yang datang lebih 90,000 orang. Ada yang datang sejauh Kota Bharu dan Kuching, Sarawak.

Yang paling teruja tentulah kanak-kanak. Mereka nampak tidak sabar ketika berjalan ke jeti pangkalan yang menempatkan deretan kapal perang antaranya KD Hang Tuah, KD Lekiu, KD Jebat dan beberapa aset kapal perang.

Iklan

Antara acara yang betul-betul membuatkan pengunjung terpegun ialah demonstrasi menyelamatkan tebusan daripada tawanan lanun oleh pasukan Paskal yang lengkap dengan senjata canggih dan bot laju.

Melihat aksi-aksi gabungan tentera darat, TLDM dan TUDM termasuk pesawat pejuang sudah rasa macam menonton filem aksi luar negara, tetapi ini lebih hebat kerana berlaku di depan mata.

Iklan

Perasaan kagum itu telah menyebabkan ada suara kanak-kanak yang bersemangat dengan nada: 'Mak, adik nak jadi Paskal bila besar nanti!'

Merak Jalanan fikir belia yang belum ada kerja dan minat pasukan beruniform bolehlah pertimbangkan untuk menyertai TLDM. Pasukan ini ada kelas dan identiti tersendiri.

Bagi Merak Jalanan, hari terbuka oleh pasukan keselamatan patut disokong oleh semua masyarakat kerana ia menyemai semangat keperwiraan yang tinggi dan perasaan cinta kepada negara.Ini kerana kita dapati ramai belia kini, kurang semangat patriotik.

Tanggungjawab menjaga ketenteraman negara adalah tanggungjawab semua dan bukannya terletak kepada satu komuniti sahaja.