KUANTAN - Demi menjaga dan menguruskan isteri dan anak bongsu, seorang ketua keluarga sanggup berhenti kerja sebagai tukang cuci sejak setahun lalu.
Ramli Mamat, 59, menganggap soal kesihatan ahli keluarganya lebih utama apabila isterinya, Murni Md Daud, 58, menghidap radang sendi di kedua belah kakinya sehingga tidak mampu berjalan sejak tiga tahun lalu, manakala Mohammad Arif Hakimi, 21, pula disyaki menghidap penyakit ‘kaki gajah’ selepas kaki kirinya semakin membesar ketika berusia 12 tahun.
Ramli yang sebelum ini pernah bekerja sebagai tukang cuci di sebuah resort di Cherating di sini berkata, keputusan berhenti kerja dibuat bagi memastikan insan tersayang diuruskan dengan baik.
"Berat untuk saya buat keputusan ini, tapi terpaksa kerana isteri sudah tiada kudrat untuk mengurus Mohammad Arif Hakimi yang perlu dijaga seperti bayi.
"Ini juga sebahagian daripada pengorbanan saya untuk mereka," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Palas di Cherating pada Rabu.
Bercerita lanjut, Ramli berkata, Mohammad Arif Hakimi dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) pelbagai dan keadaan bertambah sukar apabila pemuda terbabit menghidap penyakit kaki gajah.
Jelasnya, setiap kali Mohammad Arif Hakimi demam, kaki kirinya akan menjadi merah dan membesar.
Bagaimanapun katanya, ujian darah dilakukan pegawai perubatan terhadap anaknya itu gagal mengesan cacing (filaria) yang menjadi punca penyakit terbabit.
Bapa kepada enam anak itu memberitahu, bagaikan ujian berganda buat Mohammad Arif Hakimi apabila penyakit terbabit juga telah merebak ke kedua matanya sehingga dia kini hampir buta.
"Dia tidak boleh bertutur dengan normal. Jadi, saya terpaksa menguruskan rutin hariannya termasuk menyuapnya makan, mandi dan memakai lampin kerana dia tidak mampu mengurus dirinya sendiri.
"Dalam masa sama, saya juga menguruskan isteri yang hanya berkerusi roda namun turut dibantu oleh anak-anak yang lain,” ujarnya yang memperuntukkan lebih RM500 sebulan untuk menguruskan keperluan Mohammad Arif Hakimi.
Sehubungan itu, Ramli mengakui buntu memikirkan masa depan keluarganya memandangkan dia kini tiada pendapatan dan hanya bergantung pada wang simpanan.
Ujarnya, simpanan sedia ada semakin susut dan boleh bertahan dua tahun sahaja.
"Kini saya bergantung sepenuhnya dengan baki wang simpanan yang dikeluarkan dari Kumpuan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain mendapat wang pampasan.
"Anak-anak juga ada membantu setakat yang mereka mampu,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun CIMB Bank 7036390629 atas nama Ramli Mamat.