Jin Wei akur 'dilanyak' Se Young

Iklan
Reaksi Jin Wei selepas tewas kepada Se Young pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil sebentar tadi. - Foto Bernama

PEMAIN perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei terpaksa akur tewas mudah 10-21, 11-21 kepada An Se Young dalam aksi pusingan kedua Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.

Jin Wei berkata, dia tidak mempunyai 'kemampuan' di tengah gelanggang bagi menyaingi kehandalan pemain dari Korea Selatan itu.

Iklan
Iklan

Malah, Jin Wei turut mengakui ada jurang besar antara dia dan Se Young sehingga menyaksikan perlawanan berlangsung agak 'berat sebelah'.

"Memang saya tak cukup lagi dari segi kemampuan. Setiap pukulannya (Se Young) lebih baik dan dia juga berjaya mengawal permainan dengan tenang.

Iklan

"Ada jurang yang sangat besar (dengan Se Young). Jadi saya harus bekerja lebih keras bagi meningkatkan kemampuan diri saya sendiri.

"Saya harus meraih lebih banyak pengalaman dan menyertai kejohanan sebanyak mungkin," katanya kepada pemberita sejurus tamat perlawanan.

Iklan

Kekalahan juara remaja dunia dua kali itu menyaksikan tiada lagi wakil Malaysia dalam acara perseorangan wanita pada Terbuka Malaysia kali ini.

Sementara itu, beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing turut tersingkir pada pusingan kedua apabila tewas 10-21, 12-21 kepada pilihan ketujuh dari China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu.

"Kami sudah cuba buat sehabis baik pada perlawanan hari ini, tetapi ternyata mereka terlalu kuat. Ini pengajaran terbaik buat kami apabila menentang beregu terbaik dunia," ujar Mei Xing.