Projek tambak laut Pulau Pinang dijangka mula tahun ini

Iklan
Kon Yeow (tiga dari kanan) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman yang ditandatangani antara SRS Consortium Sdn Bhd dan Jabatan Perhutanan Pulau Pinang untuk pelaksanaan PEOM bagi PSI.

BAYAN LEPAS - Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) dijangka akan bermula pada suku ketiga tahun ini selepas Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya menjangkakan laporan EIA bagi projek mega tersebut akan diluluskan pada bulan ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selepas ia diluluskan, kerajaan negeri perlu menyediakan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) untuk dihantar kepada JAS Pulau Pinang sebagai lesen untuk memulakan kerja.

"EMP memakan masa dua hingga tiga bulan untuk diluluskan sebelum kita memulakan kerja mitigasi dalam Projek PSI. Oleh demikian, kita menjangkakan kerja penambakan bagi PSI hanya boleh dimulakan pada suku ketiga tahun ini," katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelaksanaan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM) di Sungai Batu, di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, laporan EMP yang disediakan akan memastikan pematuhan garis panduan alam sekitar dalam projek tersebut selaras dengan perubahan iklim.

"Sekiranya ia diluluskan, kita akan lihat saham kerajaan negeri dalam projek ini, selain akan ada syarikat usaha sama untuk membiayai dan menguruskan tebus guna dan pembangunan Pulau A," katanya.

Iklan

Projek PSI yang sebelum ini dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR) adalah projek mega melibatkan tambakan bagi mewujudkan tiga pulau dengan keluasan 1,821 hektar di kawasan selatan Pulau Pinang.

Projek tersebut yang mula diperkenalkan pada 2015 merupakan modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion selepas SRS Consortium dilantik sebagai PDP untuk PTMP pada 14 Ogos 2015.

PSR ditentang oleh banyak pihak antaranya Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar.

Tahun lalu, Lembaga Rayuan JAS mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah JAS yang memberi kelulusan Laporan EIA untuk PSI.

Keputusan Lembaga Rayuan JAS itu menyaksikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan yang diperoleh pada 25 Jun 2019 adalah terbatal dan tidak lagi sah.

Susulan daripada itu, kerajaan Pulau Pinang mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan JAS yang mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah JAS terhadap Laporan EIA untuk Projek PSR.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pelaksanaan PEOM, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri menandatangani memorandum persefahaman dengan Jabatan Perhutanan Pulau Pinang untuk menanam pokok bakau dan spesis lain yang bersesuaian di lokasi-lokasi tertentu termasuk PSI.

Beliau berkata, kerajaan negeri melantik Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) dari Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjalankan penyelidikan pelabuhan tukun tiruan dan unjam, selain pelepasan benih ikan dan udang yang akan memanfaatkan sektor perikanan serta nelayan tempatan.