SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tabik dengan keberanian Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bersedia menyahut cabaran untuk berdepan dengan pertandingan jawatan Presiden UMNO.
Dalam satu perkongsian video di TikTok, Khairy memberitahu, Ahmad Zahid telah menyatakan sendiri yang beliau sedia untuk ‘berlawan’.
"Alhamdulillah, pagi tadi saya telah bertembung dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid. Sambil bersalaman, beliau telah sebut ‘ready to fight’, maknanya beliau telah bersedia untuk berdepan dengan sebarang cabaran dalam pemilihan UMNO.
"Maksudnya, Presiden sendiri berani. Datuk Seri Zahid, saya salute kepada beliau kerana tak takut. Maknanya, kalau ada sebarang usaha untuk menutup demokrasi dalam UMNO supaya usul Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, maka ia bertentangan dengan keberanian Presiden sendiri.
Khairy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau turut berkongsi satu lagi video berdurasi 20 saat yang memaparkan kedua-duanya bersalaman.
Sambil melontarkan senyuman, Ahmad Zahid melaungkan ‘ready to fight’ kepada Khairy yang turut tersenyum selepas mendengar kenyataan Ahmad Zahid.
Pada 10 Januari lalu, Khairy memberi bayangan UMNO akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan sekiranya beliau dan rakan sekutunya memenangi jawatan Presiden parti itu ketika berucap pada program Regional Outlook Forum 2023 di Singapura.
Khairy pernah bertanding jawatan Presiden UMNO pada 2018, namun tewas kepada Ahmad Zahid dalam pertembungan tiga penjuru.
Ikuti perkembangan semasa mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2022 di sini!