KUANTAN - Kebanyakan nelayan di daerah ini terpaksa mendapatkan bekalan ais dari luar ekoran arahan penutupan sebuah kilang air batu di Kemunting,Tanah Putih Baru di sini sejak 23 Disember tahun lalu.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kuantan, Talib Husin berkata, sepanjang tempoh penutupan itu, nelayan terpaksa mendapat bekalan air batu dari kilang di beberapa daerah di Terengganu termasuk Dungun dan Besut.
Menurutnya, keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan aktiviti nelayan selain terpaksa menanggung peningkatan kos untuk mendapatkan bekalan ais dari luar.
"Masalah ini masih terkawal dan bukan menjadi faktor utama kepada kekurangan bekalan ikan yang berlaku sebaliknya dia disebabkan faktor Monsun Timur Laut.
"Sekiranya masalah kekurangan ais ini berlaku pada waktu puncak, ia akan menimbulkan masalah besar kerana dalam tempoh itu selalunya berlaku lambakan ikan dan memerlukan bekalan ais mencukupi," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Talib berkata, penutupan kilang air batu itu diharap tidak berpanjangan dan dapat dibuka kembali dalam masa terdekat.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus berkata, arahan penutupan kilang tersebut susulan pencemaran mikroorganisma yang dikesan dalam sampel ais bloknya.
Menurutnya, kehadiran mikroorganisma jenis pseudomonas aeruginosa tidak dibenarkan di dalam produk ais seperti yang diperuntukkan dalam Jadual Kedua Puluh Lima A, Akta Makanan 1983.
"Susulan itu, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) telah menjalankan aktiviti merampas peralatan di bawah Seksyen 4(1)(g), Akta Makanan 1983 di premis penyediaan ais blok untuk ikan itu pada 23 Disember tahun lalu.
"Keputusan sampel ais blok yang diterima pada 15 Disember menunjukkan berlaku pencemaran mikroorganisma itu manakala pensampelan ulangan juga telah dijalankan dan keputusan masih menunjukkan pencemaran mikroorganisma pseudomonas aeruginosa di dalam sampel ais bloknya.
"Justeru, premis tersebut tidak dibenarkan menjalankan sebarang aktiviti penjualan ais blok sehingga keputusan sampel ais mematuhi piawaian yang ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983 dan lesen ais blok yang sah diperolehi dari KKM," katanya.
Nor Azimi berkata, pihak premis perlu menjalankan siasatan dan mengambil tindakan pembetulan bagi memastikan tiada pencemaran mikroorganisma itu dalam ais blok yang dihasilkan.
"Premis akan dibenarkan beroperasi semula setelah sampel ais blok dan lesen mematuhi keperluan yang ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983," ujarnya.
Tambah beliau, bagi memastikan keterjaminan makanan perikanan tidak terjejas, nelayan atau pengusaha industri perikanan di cadang menggunakan sumber ais blok daripada kilang lain yang berdekatan.
"Keperluan penyediaan ais blok yang selamat terpakai kepada semua premis yang menghasilkan ais bagi maksud perdagangan atau perniagaan termasuk bagi tujuan penyejukan dan penyediaan makanan," katanya.