PERSEORANGAN profesional negara, Liew Daren menarik diri daripada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023 pada Khamis, akibat kecederaan betis kanan.
Keputusan itu menyaksikan juara bertahan dan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark mendapat kemenangan percuma untuk mara ke suku akhir, esok.
Iklan
Iklan
Axelsen, yang mendapat rehat tambahan sehari, seterusnya akan bertemu Kenta Nishimoto dari Jepun, yang menyingkirkan pilihan kelima, Jonatan Christie dari Indonesia, 21-15, 21-17 pada Khamis.
Daren, 35, sebelum ini sudah memberi bayangan bakal menarik diri daripada kejohanan Super 1000 itu sekiranya kecederaan yang dialaminya sejak sebulan lepas tidak pulih sebelum hari ini.
Pemenang pingat gangsa Kejohanan Badminton Dunia 2018 itu membuka kempen dengan kemenangan 21-15, 14-21, 21-17 ke atas Toma Junior Popov dari Perancis, manakala Axelsen mengatasi rakan senegara Rasmus Gemke 17-21, 21-14, 21-12 dalam pusingan pertama pada Selasa. - Bernama