PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman tampil menjelaskan mengenai peranannya dalam pasukan termasuk dalam soal pemilihan pemain.
Menurut Norizam, beliau tidak mahu wujud situasi ketua jurulatih yang 'kawtim' dengan mana-mana pemain untuk dibawa masuk menyarung jersi Kelantan FC.
"Ada yang cakap sepatutnya pemain dipilih oleh ketua jurulatih. Ya betul. Tapi tak semuanya betul apa yang dipilih oleh ketua jurulatih.
"Ketua jurulatih, pengarah sukan dan ejen bebas untuk memperkenalkan, mencadangkan dan menasihati saya. Tetapi saya adalah final says.
"Banyak juga kes ketua jurulatih kawtim dengan pemain yang dibawa dan makan gaji bulan-bulan dengan pemain tersebut,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Khamis.
Norizam menjawab persoalan penyokong Kelantan FC yang mempertikaikan tindakannya memilih pemain dan tidak memberikan tanggungjawab itu kepada ketua jurulatih.
Beliau berkata, tugas utama ketua jurulatih adalah mencorakkan strategi dan mengolahkan kepakaran yang ada dengan apa yang sudah tersedia.
"Saya juga nak elakkan asyik pemain sama sahaja dimainkan dalam kesebelasan utama. Selain itu, kalau asyik kalah atau adalah masalah lain, tentu ketua jurulatih akan ditukarkan dan diganti dengan yang baharu.
"Wahai semua penyokong, anda mahukan yang terbaik sama seperti saya yang mahukan yang terbaik. Siapa pilih siapa dah saya jelaskan kenapa dan mengapa,” ujarnya.