SHAH ALAM - Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyindir sebilangan pemimpin UMNO yang dilihat ‘memuja’ DAP yang sebelum ini menjadi seteru parti berteraskan Melayu itu.
Sambil menyifatkan mereka sedang ‘hangat’ bercinta, Ahli Parlimen Machang itu menyatakan, pemimpin UMNO kini sudah tidak lagi bercakap soal bangsa.
"Tak apalah orang sedang hangat bercinta, kita biarkan tapi rajin pula jadi jurucakap DAP. Masa kempen di Padang Serai, Presiden dia sertukan DAP tapi parti itu sampai hari ini tidak pernah sama sekali bercakap bagi pihak UMNO, apatah lagi menggugurkan dasar dan ideologi yang dilawan UMNO sejak 60 tahun dahulu.
"Kalau perhatikan pemimpin UMNO tidak lagi bercakap soal bangsa. Hanya bercakap soal parti dan kepentingan kelompok yang kecil yang didokong oleh ‘warlord’ mereka sendiri.
"Tiada lagi soal ketuanan, assabiyyah dan perpaduan Melayu, yang mana kita tahu semua ini adalah pra syarat kepada Perpaduan Nasional. Kalau Melayu berpecah, yang untung siapa? Kalau Melayu bergaduh yang rugi siapa?” katanya menerusi Facebook pada Khamis
Kenyataan itu dipercayai sebagai respons balas terhadap ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sewaktu merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada malam Rabu.
Mohamad memberitahu, UMNO sukar bekerjasama dengan Pas kerana parti itu tidak pernah setia atau ikhlas dan berselingkuh dengan semua parti, terutamanya 'si janda' UMNO yang merujuk kepada Bersatu.
Jelasnya, kerjasama dengan DAP mestilah diasaskan kepada realiti politik dan disesuaikan dengan keperluan dan kedinamikan semasa dan menyifatkan DAP tidak bermuka-muka dan berpura-pura setiakawan.
Sementara itu, Wan Ahmad Fahysal menyatakan, tidak kisah sekiranya pemimpin UMNO terus mengeji dan berprasangka buruk kepada Bersatu dan Pas.
"Mudah dan cepat sungguh pemimpin UMNO tukar skrip. Rupanya Muafakat Nasional adalah wayang sinetron untuk umpan orang Melayu pertahankan pemimpin UMNO yang terpalit rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.