KUALA LUMPUR - Kegagalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunaikan janji untuk memberikan kuota 30 peratus kepada wanita sebagai calon pada pilihan raya mengundang kesal sayap parti itu.
Justeru Ketua Wanita UMNO Bahagian Lumut, Sabariah Zakaria menggesa Timbalan Perdana Menteri itu untuk menunaikan semula janjinya yang belum dibuat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
"Hingga ke saat akhir, janji tidak tertunai. Wanita bukan saja tidak dapat kuota 30 peratus, malah Ketua Wanita UMNO yang menang bergaya (pada PRU15) pun tidak dapat jadi menteri.
"Ini satu tindakan yang sangat mengecewakan dan bahaya terutama bagi tahun pemilihan. Banyak pepatah Melayu yang boleh kita jadikan bidalan untuk perkara ini contohnya seperti, kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji; hati hancur bagai kaca terhempas ke batu; lidah tidak bertulang dan pepatah paling bahaya ialah ada ubi ada batas.
"Wanita dengan ini mendesak presiden untuk memperhalusi hal ini. Jangan UMNO dilihat sebagai parti yang mengamalkan diskriminasi gender,” katanya ketika perbahasan ucapan dasar Ketua Wanita sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO pada Khamis.
Dalam pada itu Sabariah turut mengingatkan bahawa sayap wanita tidak boleh dipandang rendah dan dilihat sebagai jentera untuk bekerja semata-mata.
"Memang kadang-kadang wanita terasa hati. Begitu penatnya kita bekerja, tetapi adakalanya usaha kita dipandang remeh, suara kita diletak ke tepi dan perjuangan kita dipandang sepi.
"Namun kepada ALLAH kita serahkan segalanya kerana perjuangan wanita bukan kerana apa, siapa atau kenapa, perjuangan wanita adalah didasarkan kepada rasa cinta yang jika dikhianati, akan membawa padah kepada yang empunya diri," tegasnya.