KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) sekali lagi menggesa supaya Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti dikuatkuasakan segera di Sabah.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan (Warisan), Assafal P Alian berkata, akta yang melarang ahli Dewan Rakyat bertukar parti mula berkuat kuasa pada 5 Oktober tahun lalu.
Menurutnya, selaras dengan pindaan ini, kerajaan Persekutuan meminta kerajaan negeri untuk mengguna pakai pindaan yang sudah digubal di bawah Jadual Ke-8 Pindaan Perlembagaan itu untuk terpakai kepada Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN).
"Bagi kerajaan Sabah, pemakaian RUU Anti Lompat Parti, setakat ini ia masih lagi belum dilaksanakan walaupun sudah ada beberapa kenyataan media sejak awal November 2022 oleh Ketua Menteri yang memberikan komitmen untuk tujuan tersebut.
"Setelah melihat kepada apa yang berlaku kebelakangan ini serta pergolakan politik kerajaan Sabah sejak pembentukan Malaysia, saya menggesa agar kerajaan Sabah harus segera membentangkan RUU Anti Lompat Parti," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Assafal yang juga ADUN Tungku berkata, langkah itu selari dengan apa yang dilakukan di peringkat kerajaan Persekutuan dan juga beberapa negeri lain yang bertujuan untuk mengembalikan kepercayaan terhadap demokrasi dan sistem politik negara kita.
"Jika RUU ini dibentang dan diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, ia akan dapat membawa kepada kestabilan politik dan kelangsungan pembangunan negeri sekurang-kurangnya untuk satu tempoh masa yang jelas," katanya.