China henti dedah data harian Covid-19

Iklan
Stesen kereta api di Shanghai sesak pada Rabu apabila kebanyakan penduduk mula pulang ke kampung halaman masing-masing menjelang Tahun Baharu Cina. - Foto AFP

BEIJING - China pada Khamis dilaporkan tidak mengemaskini data harian Covid-19 selama tiga hari setelah kali terakhir ia menerbitkan jumlah jangkitan, kes teruk dan kematian adalah pada Isnin lalu.

Sehingga kini, tiada pemberitahuan rasmi tentang perkara tersebut selepas pihak berkuasa kesihatan pada bulan lalu mengumumkan ia akan beralih kepada laporan bulanan di bawah perubahan melibatkan pengurusan wabak tersebut yang telah mencetuskan lonjakan luar biasa di Beijing.

Iklan
Iklan

Ia bagaimanapun tidak memberikan tarikh spesifik pelaksanaannya.

Pada Rabu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengulangi gesaan supaya Beijing lebih telus berkongsi maklumat strain yang terus menular dan situasi sebenar di beberapa wilayah serta kawasan di luar bandar.

Iklan

Menurutnya, kekurangan data yang diperlukan menyukarkan usaha mereka untuk membantu China menguruskan risiko peningkatan kes Covid-19 menjelang sambutan Tahun Baharu Cina yang bermula pada 21 Januari depan.

"Kami mahu bekerjasama dengan rakan penyelidik di Beijing, namun kami perlukan data lebih terperinci,” ujar Pengarah Jabatan Penyelarasan Amaran dan Tindak Balas WHO, Abdi Rahman Mahamud.

Iklan

Agensi kesihatan itu juga percaya China ‘menyembunyikan’ jumlah sebenar kematian yang dipercayai jauh lebih tinggi daripada angka yang diberikan Beijing.

Pihak berkuasa China dikatakan hanya merekodkan kurang daripada lima kematian harian sejak lebih sebulan lalu dan dianggap tidak konsisten walaupun barisan panjang dapat dilihat di krematorium seluruh negara.

WHO turut memberi amaran tentang ancaman subvarian Omicron, XBB.1.5 yang mungkin mendorong lebih banyak kes setelah ia menyumbang sebahagian besar jangkitan di Amerika Syarikat (AS) dan Britain. - Agensi