'Selepas PRU15, Mohamad ada datang ke rumah saya'

Iklan
Hamzah

TUMPAT - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak bercakap benar apabila menyatakan DAP lebih baik berbanding Pas sebagai alasan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) mendakwa Ahli Parlimen Rembau itu bercakap sebaliknya ketika bertemu beliau sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Sehari selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Mohamad ada datang ke rumah saya.

"Apa yang disampaikan ialah: ‘brother saya nak maklumkan, sekiranya Presiden UMNO mahu bekerjasama dengan DAP, saya orang pertama yang akan menentang’. Itu yang beliau cakap pada saya,” katanya selepas Majlis Sumbangan Bantuan Banjir PN kepada 8,000 mangsa di Chabang Empat, Wakaf Bharu di sini pada Khamis.

Iklan

Jelasnya, ketika itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjadi saksi pertemuan dan percakapan Mohamad tersebut.

"Saya berkawan dengan beliau dan juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang sudah dianggap sebagai abang saya,” katanya.

Iklan

Hamzah mengakui terkejut dengan kenyataan terbaharu oleh Mohamad tersebut.

"Saya hairan UMNO sejak akhir-akhir ini, dulu bercakap lain, sekarang cakap lain, pusing sahaja.

"Saya nak maklumkan kepada rakyat supaya berhati-hati,” katanya.

Sebelum itu, Mohamad yang berucap pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Rabu menyatakan UMNO bekerjasama dengan DAP pada pasca PRU15 kerana parti itu tidak bermuka-muka serta tidak berpura-pura dalam setia kawan.

Mohamad juga mengakui UMNO sukar bekerjasama dengan Pas kerana mendakwa Pas tidak pernah setia atau ikhlas malah tanpa segan berselingkuh atau curang dengan parti serpihan atau ‘janda’ UMNO.