'Usah hanya nak kritik'

Iklan
Pan-gon berjaya membentuk pasukan dengan baik tanpa beberapa tonggak utama sehingga mara ke separuh akhir Piala AFF 2022.

PEMINAT bola sepak negara tidak seharusnya mengkritik persembahan skuad Harimau Malaya selepas tumbang di tangan Thailand pada peringkat separuh akhir Piala AFF 2022.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, peminat Harimau Malaya perlu memahami situasi yang dihadapi skuad kendalian Kim Pan-gon itu yang dibarisi majoriti muka baharu pada kejohanan kali ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Harimau Malaya telah membuktikan kemampuan mereka apabila berjaya menjadi antara empat terbaik sekali pun ramai yang tidak meletakkan sebarang harapan kepada mereka.

"Memang tidak bolehlah untuk meletakkan pasukan yang kita ada pada kejohanan Piala AFF kali ini setaraf dengan Thailand atau Vietnam.

Iklan

"Kalau ada pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) mungkin skripnya berbeza dan kita mungkin boleh melihat satu persembahan yang lebih baik.

"Tetapi banyak perkara positif yang dapat ditonjolkan pemain-pemain kali ini terutamanya apabila kita menyedari mempunyai ramai pemain pelapis berkualiti.

Iklan

"Mereka juga menonjolkan semangat berjuang yang tinggi dan tidak berputus asa sehingga layak ke separuh akhir,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Perjalanan Harimau Malaya di pentas Piala AFF 2022 berakhir di peringkat separuh akhir selepas tewas 1-3 secara agregat kepada Thailand yang juga penyandang juara.

Harimau Malaya gagal mempertahankan kelebihan satu gol yang dimiliki ketika separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil apabila tewas 0-3 dalam aksi timbal balik di Stadium Thammasat, Bangkok pada Selasa.

Kekalahan kepada skuad Gajah Perang itu mengundang kritikan segelintir pihak biarpun Harimau Malaya tidak memiliki 'kekuatan sebenar' dengan ketiadaan ramai tonggak utama.

Dalam pada itu, Mohd Azraai turut memuji kemampuan ketua jurulatih, Kim Pan-gon yang mampu membentuk pasukan tanpa kehadiran ramai pemain utama.

"Pan-gon telah menjalankan tugas yang baik. Dia macam tukang masaklah, mungkin ramuan tak cukup, tetapi dia masih mampu wujudkan satu masakan yang menarik,” ujarnya.