SEKIAN lama, saintis memberi amaran bahawa bumi semakin tidak keruan yang menyaksikan berlaku bencana jarang terjadi akibat pemanasan global kesan perubahan iklim.
Namun baru-baru ini, satu kajian yang membimbangkan umat manusia apabila separuh daripada glasier bumi mengecut dan menghilang lebih cepat daripada yang disangkakan oleh saintis.
Kehilangan glasier itu adalah antara bukti paling dramatik bahawa bumi semakin memanas dan kesannya bencana mungkin lebih kerap terjadi selepas ini.
Glasier ialah sejumlah besar ais seperti gunung yang bergerak ke bawah perlahan-lahan dan ia terbentuk kerana pengumpulan salji yang cepat.
Justeru, glasier di seluruh dunia boleh terdiri daripada ais yang berumur beberapa ratus hingga ribuan tahun dan memberikan rekod saintifik tentang bagaimana iklim telah berubah dari semasa ke semasa.
Hari ini, kira-kira 10 peratus daripada kawasan daratan di bumi dilitupi ais glasier yang mana hampir 90 peratus berada di Antartika, manakala baki 10 peratus di Greenland.
Bagaimanapun, kajian dalam Jurnal Sains yang didedahkan baru-baru ini mendapati banyak glasier akan hilang atau didapati sedang menuju kepupusan, sekali gus akan mengancam nyawa penduduk dunia.
Ini bermakna, lebih 83 peratus daripada glasier dunia mungkin hilang menjelang tahun 2100 dan turut memberikan kesan kepada alam sekitar serta hidupan haiwan darat dan laut.
Sebenarnya, dunia kini berada di landasan untuk kenaikan suhu 2.7 darjah Celsius sejak zaman praindustri.
Menjelang tahun 2100 bermakna kehilangan 32 peratus daripada jisim glasier dunia, atau 68 peratus daripada glasier akan hilang.
Keadaan itu akan meningkatkan kenaikan paras laut sebanyak 115 milimeter sebagai tambahan kepada laut yang sudah menjadi lebih besar daripada lembaran ais yang mencair tenggelam.
Sebagai contoh, seperti fenomena pencairan ais di dalam sebuah cawan saja sudah cukup untuk membasahi meja, bagaimana pula jika bongkah-bongkah ais besar di wilayah Antartika yang mencair sehingga mampu menenggelamkan bumi.
Malah, kehilangan glasier adalah mengenai penyusutan bekalan air untuk sebahagian besar penduduk dunia, lebih banyak risiko kejadian banjir dan kehilangan tempat bersejarah yang dilitupi ais dari Alaska ke Pergunungan Alps.
Bahkan, sejak revolusi perindustrian, pelepasan karbon dioksida dan lain-lain gas rumah hijau telah meningkatkan suhu dan akibatnya, glasier cepat mencair dan berpecah menjadi ketulan kecil di dalam laut serta bergerak ke darat.
Glasier di seluruh dunia boleh berumur ratusan hingga ribuan tahun dan memberikan rekod saintifik tentang bagaimana iklim telah berubah dari semasa ke semasa.
Salah seorang penulis memaklumkan, glasier adalah salah satu petunjuk penting perubahan iklim kerana ia boleh dilihat. Ini sesuatu yang benar-benar boleh berlaku dan dilihat.
Justeru, glasier yang terdapat di dua pertiga di tapak Warisan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka boleh diselamatkan tetapi hanya jika dunia mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius.
Pakar glasiologi di Universiti Leeds, Profesor Duncan Quincey yang tidak terlibat dalam penyelidikan itu memberitahu, ramai penduduk bergantung kepada glasier sebagai sumber air untuk kegunaan domestik, pertanian dan kehilangannya boleh menyebabkan kekurangan air tawar semasa musim kemarau.
Kehilangan glasier juga akan memberi kesan kepada sumber air kerana ia membekalkan air tawar kepada dua billion penduduk di dunia.
Selain itu, beberapa kesan buruk lain akibat glasier, antaranya kehilangan sumber bekalan elektrik, kehilangan terumbu karang, kekurangan pengeluaran pertanian dan pecahan industri berasaskan lautan.
Pengarang laporan, Carvalho Resende memberitahu, kesan glasier yang mencair, penduduk tempatan dan Orang Asli akan menanggung kesan banjir, sekali gus menggesa agar amaran awal dan pengurangan risiko dilaksanakan.
Jadinya, beberapa langkah telah dikenal pasti saintis untuk mengurangkan risiko pemanasan global sehingga menyumbang kecairan glasier, antaranya menjimatkan penggunaan elektrik, menanam lebih banyak pokok, mengamalkan kitar semula dan mengurangkan penggunaan klorofluorokarbon (CFC).
Demi untuk generasi masa depan yang akan dilanda musibah yang tidak akan pernah terjangkau dek akal dan fikiran kita, marilah kita menjaga alam sekitar untuk mereka.
* Zulhilmi Hat ialah wartawan Meja Global Sinar Harian