SHAH ALAM - Kerajaan diminta memberi perhatian penuh terhadap isu keselamatan dan kedaulatan negara terutama usaha menaik taraf aset ketenteraan demi memastikan sistem pertahanan berada pada tahap terbaik.
Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, bagi merealisasikan keupayaan terbaik sistem pertahanan negara, kerajaan perlu menyediakan peruntukan sewajarnya bagi menaik taraf aset-aset yang sudah boleh dikategorikan sebagai usang.
Menurutnya, peruntukan menaik taraf aset ketenteraan di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sememangnya diperlukan apabila kebanyakannya sudah hampir tamat tempoh.
Tambahnya, bukan sahaja aset yang dimiliki usang dan masih menggunakan model lama, kelengkapan pertahanan Malaysia juga dilihat berada jauh ketinggalan daripada segi teknologi berbanding negara jiran.
Sebagai contoh, katanya, aset kapal ronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Maritim Malaysia dilihat masih menggunakan model lama dan keupayaannya bukan berada pada tahap sebenar untuk beroperasi.
Ujarnya lagi, kebimbangan melibatkan isu aset keselamatan negara telah dizahirkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, khususnya kapal-kapal TLDM yang telah berusia dan perlu ditukar.
"Jika aset-aset ini berada dalam keadaan ‘uzur’, bagaimana TLDM dan Maritim Malaysia selaku pertahanan pertama perairan negara mahu mengekang pencerobohan pihak asing?
"Perkara sebegini membuatkan dua pertahanan negara ini tidak mampu bersaing dengan kemampuan kapal-kapal asing dan nelayan yang menceroboh perairan negara menggunakan teknologi terkini.
"Oleh sebab itu, kerajaan perlu memperuntukkan satu jumlah dana yang mampu meningkatkan keupayaan dan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti di dalam sistem pertahanan negara,” katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.
Halim berkata, bagi memastikan semua aset dan kelengkapan pertahanan negara menggunakan teknologi terkini, perkara yang tidak boleh dikompromi kerajaan yang menguruskan perolehan negara adalah isu ketirisan, rasuah atau salah guna kuasa.
Tegasnya, semua urusan pembelian dan perolehan perlu dilakukan secara telus, tiada unsur mahu mendapatkan keuntungan atau campur tangan pihak yang tidak terlibat.
Selain itu, katanya, pembelian aset pertahanan mestilah bersama kontrak pakej penyelenggaraan dan alat ganti agar ia boleh digunakan untuk jangka masa lama.
"Apa yang lebih utama adalah soal ketirisan dan elemen rasuah yang perlu dihapuskan. Jalan terbaik yang boleh dilakukan adalah menerusi kaedah tender terbuka.
"MCCF ingin menyarankan agar kerajaan menetapkan satu syarat wajib di mana semua syarikat pembekal memastikan tiada ahli lembaga pengarah mereka yang terdiri daripada pegawai tinggi kerajaan yang baru bersara.
"Perkara ini adalah penting untuk mencegah berlakunya salah guna kuasa dan ketirisan dalam kelulusan projek-projek melibatkan pertahanan negara,” tegas beliau.