Gajah liar musnahkan kebun kelapa sawit

Iklan
Mohd Isa menunjukkan pokok kelapa sawit yang dirosakkan gajah di Felda Bukit Tongkat, Kluang.

KLUANG - Peneroka Felda Bukit Tongkat di sini hidup dalam kebimbangan apabila kawasan kebun kelapa sawit mereka sering diganggu dan dirosakkan gajah liar menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit.

Mohd Isa Murah, 63, berkata, sebanyak 300 pokok kelapa sawit yang ditanam di atas tanah berkeluasan 10 ekar rosak akibat serangan kumpulan gajah pada malam Selasa lalu.

MOHD ISA

Iklan
Iklan

Katanya, serangan itu bukan pertama kali berlaku dan menjadi semakin serius sejak setahun lalu sehingga peneroka terpaksa membuat rondaan pada sebelah malam.

"Kumpulan gajah ini memakan umbut kelapa sawit yang mengakibatkan kemusnahan kepada pokok.

Keadaan pokok kelapa sawit yang rosak akibat serangan gajah.

Iklan

"Peneroka yang terpaksa menanggung kerugian. Setiap bulan hasil sawit yang dituai mencecah enam tan dengan harga jualan satu tan RM700. Tetapi sekarang terpaksa fikirkan modal untuk tanam semula kelapa sawit," katanya ketika ditemui pada petang Khamis.

Beliau memberitahu, selain rondaan beberapa langkah lain turut diambil bagi mengelakkan gajah liar memasuki kebun penduduk termasuk membina parit gajah.

Iklan

Bagaimanapun, langkah itu dilihat masih tidak dapat menyelesaikan isu serangan gajah di kawasan kebun kelapa sawit peneroka.

"Penggunaan pagar elektrik antara langkah yang dapat mengelakkan gajah masuk ke dalam kawasan kebun kelapa sawit. Namun kosnya pula mencecah puluhan ribu ringgit.

"Saya harap Felda dan kerajaan dapat membantu peneroka bagi pemasangan pagar elektrik ini," ujarnya.

HAMDAN

Sementara itu, Hamdan Montel, 70, pula seakan serik dengan serangan gajah, apabila dia tidak menaman semula kelapa sawit yang dirosakkan haiwan itu.

"Pada pertengahan tahun lepas, 100 pokok kelapa sawit habis dirosakkan gajah. Sebelum itu pun, sudah ada pokok kelapa sawit dirosakkan gajah tetapi jumlahnya tidak banyak.

"Saya bimbang pokok sawit yang akan ditanam akan dirosakkan semula gajah liar. Kalau tanam yang lain, seperti sayur sama juga akan dirosakkan gajah, selagi tidak ada langkah untuk atasinya, isu ini akan berlarutan dan merugikan peneroka," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R Vidyananthan berkata, tindakan perlu diambil bagi menyelesaikan isu gangguan gajah yang mengancam keselamatan dan merosakan tanaman penduduk.

"Sudah ada pelbagai cadangan di peringkat kerajaan negeri dan Perhilitan seperti parit gajah dan pagar elektrik. Serangan gajah sudah berulang kali berlaku.

"Penanaman semula di kawasan ladang antara faktor yang dipercayai menjadi punca gajah keluar untuk mencari makan sehingga merosakan tanaman penduduk," katanya.

Jelasnya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan mewujudkan rakan Perhilitan di DUN Kahang sebagai pendedahan kepada penduduk tentang apa yang patut mereka buat ketika berdepan dengan haiwan liar itu.

"Pendedahan ini penting bagi memastikan keselamatan penduduk," katanya.