Polis rampas dadah hampir RM60,000 dalam pondok

Iklan
Antara dadah yang dirampas di pondok berkenaan ketika serbuan pada Isnin.

KUALA MUDA - Polis berjaya merampas dadah bernilai hampir RM60,000 dalam serbuan di sebuah pondok di pekarangan kandang lembu di Kampung Sungai Division Sungai Petani pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 11 malam oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK).

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam serbuan terbabit polis berjaya menahan tiga suspek yang terdiri daripada dua lelaki tempatan berusia 22 dan 36 tahun serta seorang lelaki warga asing berusia 24 tahun.

"Pemeriksaan lanjut dalam pondok berkenaan menjumpai sejumlah heroin seberat kira-kira 1,660.5 gram dan syabu anggaran berat 1,007.5 gram yang keseluruhannya bernilai RM58,496.

Iklan

"Turut dirampas adalah alat-alat yang digunakan untuk membungkus dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, susulan tangkapan ketiga-tiga suspek itu polis seterusnya menjalankan serbuan kedua kira-kira jam 12.15 malam di hadapan kandang lembu berkenaan.

Iklan

"Kita berjaya menahan dua lagi lelaki tempatan berusia 35 dan 36 tahun," katanya.

Zaidy berkata, hasil serbuan itu, polis turut menyita lima buah motosikal bernilai RM27,400 dan wang tunai berjumlah RM1,700.

"Kesemua suspek masih dalam tahanan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," jelas beliau.