KUALA LUMPUR - Regim percukaian negara harus dirombak dan perlu seiring dengan sistem percukaian dunia untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI), kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, meskipun asas ekonomi Malaysia adalah kukuh namun sentimen terhadap iklim pelaburan negara mempamerkan sisi sebaliknya.
Justeru, beliau mencadangkan supaya tax holiday (cuti percukaian), insentif kredit baharu mesti diberikan.
"Kita perlu mengembalikan daya saing negara, agar tidak tenggelam dengan kepantasan serta kerancakan ekonomi negara-negara jiran,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini pada Jumaat.
Ahmad Zahid berkata, antara fokus yang perlu diberikan segera adalah penjanaan peluang pekerjaan, peluang perniagaan, latihan semula dan nilai tambah kemahiran serta padanan pekerjaan sesuai dengan kelayakan.
Beliau menggesa Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meneruskan usaha mengembalikan citra Malaysia kepada dunia luar selain langkah drastik bagi menambat segera hati pedagang luar.
Selain itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz juga digesa untuk melakukan langkah segera mempromosikan Malaysia sebagai negara yang mesra pelabur dan menawarkan iklim pelaburan yang kondusif.
"Limpahan pelaburan asing, sudah tentu akan dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, di samping menjana peluang pekerjaan baharu buat anak bangsa kita,” katanya. - Bernama