SHAH ALAM - Ucapan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir sempena perhimpunan agung kali kedua parti itu akan memberi tumpuan mengenai hala tuju Pejuang selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Mukhriz dijangka menyampaikan ucapan dasar presiden pada jam 9.15 pagi Sabtu (esok) sempena perhimpunan agung Pejuang kali kedua yang bermula Jumaat.
"Ucapan dasar presiden dijangka menjadi tumpuan perwakilan dan pemerhati yang hadir kerana ia akan menjadi kayu pengukur kepada penstrukturan semula barisan kepimpinan Pejuang.
"Sekali gus (ia) membuka ruang idea baharu bagi menyambung legasi perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Muhammad Rafique menjelaskan, kesemua perwakilan yang hadir akan membahaskan usul bagi menentukan dasar dan hala tuju Pejuang berkenaan gabungan atau kerjasama dengan parti-parti politik atau pihak-pihak lain sewaktu menghadapi senario ketidaktentuan politik.
Menurutnya, perhimpunan agung tersebut melibatkan perwakilan parti berkenaan dari segenap tanah air.
Katanya, ia bermula pada petang Jumaat dengan Perhimpunan Agung Pejuanita dan diikuti Perhimpunan Agung Pejuang Muda dan Pejuanita Muda pada jam 8 malam.
"Perwakilan dari setiap negeri dijangka hadir seramai mungkin untuk menilai hala tuju Pejuang pasca PRU15," katanya.
Pejuang merekodkan prestasi buruk dalam PRU15 lalu apabila kesemua 117 calonnya hilang wang deposit sekali gus menjadi parti tertinggi yang menyumbang kepada hilang wang pertaruhan berbanding parti lain.
Ekoran itu, beberapa pimpinan Pejuang turut meletakkan jawatan termasuk Dr Mahathir sebagai pengerusi parti dan Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.