[VIDEO] 'Saya maafkan tapi sukar lupa' - Ahmad Zahid

Iklan
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Jumaat. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui sukar untuk melupakan tindakan 10 ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) yang menandatangani akuan berkanun (SD) bagi menyatakan sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menyatakan kemaafan telah diberikan kepada kumpulan yang terlibat ketika berucap dihadapan hampir 3,000 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Ahmad Zahid dalam masa sama turut menjelaskan faktor BN bersetuju untuk menyertai Kerajaan Perpaduan Malaysia dan berharap segala polemik mengenai perkara itu ditamatkan.

Ujarnya, sebelum membuat keputusan untuk menyertai gabungan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, UMNO terlebih dahulu membuat rundingan dengan PN dan Pakatan Harapan (PH).

Iklan

Namun katanya, belum pun ketetapan dibuat, Muhyiddin mengumumkan telah mempunyai SD mencukupi kerana mendapat sokongan 10 ahli Parlimen BN.

"Ini juga menjadi faktor kenapa kita tidak boleh bersama PN. Belum pun subuh, pengkhianatan telah dibuat terhadap parti kita. Lebih menyedihkan, ia diatur oleh orang kita sendiri.

Iklan

"Sedangkan seperti yang saya sebutkan tadi, kita telah ada dokumen perjanjian dan akuan bersumpah serta akujanji, kerusi yang dimenangi adalah hak mutlak parti.

"Atas sebab itu, kita berbincang dan bersetuju, untuk membentuk kerajaan bersama PH dengan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan Ahmad Zahid sedia memaafkan 10 ahli BN yang menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin.

Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan, beliau bersama-sama Lembaga Disiplin UMNO akan tetap memantau pergerakan ahli-ahli Parlimen terlibat.