SHAH ALAM - Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) mahu Majlis Am Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa pimpinan kesatuan itu menarik balik pendirian terbaharu yang dibuat kepada Menteri dan Kementerian Sumber Manusia, baru-baru ini berhubung sokongan terhadap Rang Undang-undang (RUU) Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan 2022).
Pengerusi CAMU, Rudy Rusly berkata, ia berikutan pendirian berkenaan bertentangan dengan pendirian untuk menolak pindaan itu secara sebulat suara seperti diputuskan MTUC dalam dua pertemuan pada tahun lalu.
Beliau yang menyatakan kesal dan kecewa dengan tindakan MTUC kerana secara terang-terangan mereka membelakangkan kepentingan pekerja dan gerakan Kesatuan Sekerja.
"Kali kedua, Persidangan Perwakilan MTUC kali ke-42 pada 2 Julai 2022, Pemangku Presiden kesatuan itu, Effendy Abdul Ghani berkongsi kebimbangan mengenai cadangan yang dikemukakan dalam RUU Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan) 2022 membabitkan isu mewujudkan kepelbagaian kesatuan sekerja seharusnya dikaji lebih terperinci," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Bagaimanapun,pada 5 Januari lalu, delegasi pimpinan MTUC 2022-2025 mengadakan satu perjumpaan kunjung hormat terhadap Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
"Dalam kunjungan itu, pimpinan tertinggi MTUC termasuk Presiden, Effendy Abdul Ghani dan Setiausaha Agung, Kamarul Baharin Mansor memaklumkan kepada Menteri dan juga pegawai-pegawai tertinggi Kementerian Sumber Manusia bahawa kesatuan menyokong RUU Kesatuan Sekerja, yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2022," katanya.
Tambah Rudy, tindakan barisan kepimpinan MTUC itu merupakan satu pengkhianatan terhadap warga pekerja dan juga Kesatuan Sekerja di Malaysia.
"Keseluruhan Ahli Majlis Am telah diperdayakan pemimpin MTUC sesi 2022-2025. Malangnya, apa yang kita lihat pada hari ini adalah sesuatu yang amat malang sekali kepada gerakan Kesatuan Sekerja di Malaysia.
'MTUC yang kononnya menjadi pejuang kaum pekerja sejak tahun 1949 gagal memainkan peranan sebenarnya dalam memperjuangkan nasib pekerja," ujarnya.