KUALA TERENGGANU - Banjir kilat yang melanda kawasan Kampung Kemat di Hulu Terengganu pulih sepenuhnya selepas semua penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pulang ke rumah masing-masing.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan PPS Balai Raya Kampung Kemat yang dibuka pada petang Khamis telah ditutup secara rasmi pada jam 3 petang Jumaat.
Iklan
Iklan
"Keadaan cuaca sekarang sedikit mendung dan maklumat berkaitan banjir akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 15 keluarga melibatkan 43 penduduk di sekitar Kampung Kemat dipindahkan ke tempat selamat selepas kawasan tersebut dilanda banjir kilat pada petang Khamis.
Jumlah itu dilaporkan meningkat kepada 71 mangsa dari 23 keluarga pada jam 8 pagi Jumaat susulan langkah pihak keselamatan meminta penduduk berpindah lebih awal.