Sindiket guna nama CEO LHDN

Iklan
Sebahagian komunikasi sindiket penipuan yang menggunakan nama CEO LHDN bagi menakutkan orang ramai bahawa mereka mempunyai isu pematuhan cukai yang perlu diselesaikan.

SATU sindiket yang menggunakan nama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah dikesan untuk menipu orang ramai kononnya mereka mempunyai isu pematuhan cukai yang perlu diselesaikan.

Sindiket yang menggunakan media sosial sebagai platform komunikasi ini bukan sahaja memaklumkan ‘masalah pematuhan cukai’ yang dihadapi oleh mangsa, malah turut menawarkan khidmat membantu menyelesaikan ‘masalah pematuhan cukai’ tersebut dengan caj tertentu yang perlu dibayar.

Iklan
Iklan

LHDN dalam satu kenyataan berkata, terdapat juga golongan yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama CEO LHDN untuk mengugut pembayar cukai dan memaksa mereka menjelaskan ‘amaun cukai yang tertunggak’ kepada LHDN melalui akaun milik mereka.

"Harap maklum bahawa maklumat percukaian setiap pembayar cukai adalah sulit dan dijamin kerahsiaannya menurut Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Iklan

"Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif dan setiap pegawai LHDN tidak dibenarkan untuk membincangkan maklumat percukaian setiap pembayar cukai dengan pihak-pihak yang tidak berkenaan,” kata kenyataan itu semalam.

Di samping itu, LHDN menjelaskan, setiap penyelesaian isu pematuhan cukai dengan LHDN tidak menggunakan orang tengah selain daripada Ejen Cukai Bertauliah yang dilantik.

Iklan

"Pembayaran baki cukai tertunggak pula hendaklah dibuat terus ke dalam akaun LHDN atas nama Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri,” kata kenyataan itu lagi. Justeru, LHDN menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik penipuan itu.

Sekiranya orang ramai mempunyai keraguan terhadap sebarang surat, e-mel, mesej atau pun panggilan telefon yang kononnya dari atau mewakili LHDN, sila dapatkan pengesahan terlebih dahulu dengan menghubungi Hasil Care Line di talian 1-800-88-5436 atau Customer Care Officer (CCO) di setiap cawangan LHDN. Senarai CCO LHDN boleh diakses melalui portal rasmi www.hasil.gov.my > Hubungi Kami > Pegawai Perhubungan Awam.