BANTING - Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Negeri Selangor merampas belat dan jaring yang digunakan bagi menangkap ikan secara haram di perairan Pantai Morib di sini sepanjang dua hari operasi bermula Selasa.
Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, pihaknya merampas dua set belat sepanjang 500 meter serta pancang besi dan tiga set jaring sepanjang kira-kira 100 meter bersama pancang kayu.
Katanya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1,700.
"Kesalahan ini adalah seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1895 yang memperuntukan kesalahan bagi memasang atau menyebabkan dipasang peralatan menangkap ikan (belat) tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan.
Beliau berkata, mereka yang menjalankan kegiatan memasang belat secara haram ini akan dikenakan tindakan tegas yang membawa hukuman denda tidak kurang RM500 dan tidak lebih RM 20,000.
Tambah Noraisyah, penggunaan belat ini akan merosakkan ekosistem kerana anak-anak ikan, ketam serta belangkas akan tersangkut dan mati.
"Peralatan belat ini akan mengganggu kelangsungan hidup spesies tempatan dan akan menyebabkan berkurangnya sumber perikanan negara," ujarnya.
Jelasnya, komuniti setempat diminta membantu pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkenaan untuk tindakan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985.