Lebih agresif perangi rasuah

Iklan
Hamdan (tiga dari kiri) dan Nurhayati (berdiri, tengah) bergambar bersama ahli jawatankuasa baharu Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan di Media Karangkraf pada Jumaat.

SHAH ALAM - Tahun 2023 bakal menjadi kalender paling sibuk buat Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan untuk menggerakkan usaha mendekati masyarakat bagi menyampaikan mesej antirasuah.

Pengerusinya, Prof Madya Dr Hamdan Daniel berkata, pihaknya dalam masa terdekat akan merangka beberapa program interaktif yang bakal disertai oleh seluruh lapisan masyarakat di dua buah negeri tersebut sepanjang tahun ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain penganjuran beberapa program santai sepanjang tahun, Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan akan memfokuskan satu mega projek yang bakal memberi impak besar berhubung gejala rasuah dan isu salah guna kuasa.

"Selain merancang beberapa program santai bersama seluruh masyarakat, pastinya satu projek mega istimewa akan dilaksanakan iaitu mengadakan Hari Selangor dan Wilayah Persekutuan Bebas Daripada Rasuah.

Iklan

"Diharap program yang akan dirangka akan dapat dilangsungkan dengan jaya demi mencapai objektif menyampaikan mesej antirasuah dan penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak.

"Generasi muda dan anak-anak perlu disemai dengan nilai-nilai murni seperti sifat amanah, jujur serta bertanggungjawab, sekali gus akan membina nilai moral karakter bangsa yang terbaik ini dalam diri sehingga akhir hayat," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Mesyuarat Pelantikan Pengerusi Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan serta Perancangan Rasuah Busters 2023 di Media Karangkraf.

Dalam majlis tersebut, Hamdan dipilih sebagai Pengerusi baharu bagi menggantikan Wan Azliana Wan Adnan yang melepaskan jawatan bagi menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Hamdan sebelum ini adalah Timbalan Pengerusi Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan dan jawatan lamanya itu kini disandang oleh Hairum Mahpudz.

Sementara itu, Mohammad Amar Masuri daripada Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (Pemuda GEMA) dipilih sebagai Naib Pengerusi; jawatan Setiausaha disandang oleh Mohd Bukhari Nordin; Sarah Suleiman sebagai Penolong Setiausaha serta Tan Wan sebagai Setiausaha Kerja.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin.

Mengulas lanjut, tegas Hamdan, aktiviti yang dirancang sebelum ini oleh ahli jawatankuasa terdahulu akan diteruskan setelah terhenti sementara bagi memberi laluan kepada kehangatan PRU-15.

Katanya, dia begitu yakin dengan perancangan program sepanjang 2023 dapat dilaksanakan oleh jawatankuasa sedia ada, selain ditambah dengan beberapa portfolio baharu diwujudkan bagi melancarkan urusan.

"Semua aura positif mampu dihasilkan di dalam ahli jawatankuasa ini, sekali gus menjadikan organisasi ini lebih dinamik seterusnya memenuhi aspirasi memastikan Malaysia bebas rasuah.

"Selain bersama masyarakat di peringkat akar umbi, kami juga akan melakukan kunjung hormat kepada pemegang taruh.

"Diharap semua usaha yang akan dilaksanakan ini mampu beri impak besar kepada masyarakat dan membuktikan bahawa Rasuah Busters tidak keseorangan," katanya.