Desakan henti penjualan arak terbuka tidak relevan

Iklan
Tiong King Sing

PUTRAJAYA - Desakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohd Jan agar pusat membeli-belah di Seberang Jaya menghentikan penjualan arak secara terbuka adalah satu tindakan yang tidak relevan.

Tegas Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Tiong King Sing, sebagai ahli Parlimen, Muhammad Fawwaz sepatutnya lebih memahami bahawa Malaysia merupakan negara yang berbilang kaum dan agama.

Iklan
Iklan

Menurut King Sing, dalam keadaan dunia semakin pantas menuju era tamadun digital untuk kesejahteraan rakyat merangkumi ekonomi, politik, kebudayaan dan sosial, masih wujud segelintir pihak yang mahu negara dilihat seolah mundur ke belakang.

"Pelbagai perkara atau isu sensitif yang timbul di dalam negara ini sering kali ditiup oleh segelintir kumpulan ekstremis yang melakukan sesuatu demi kepentingan peribadi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Ujarnya, desakan itu merupakan satu fenomena yang tidak sihat.

King Sing berkata, kehidupan harmoni rakyat selama berpuluh tahun tidak boleh dimusnahkan dengan sekelip mata hanya kerana tindakan buta tuli.

Iklan

"Jika setiap isu yang timbul dikaitkan dengan agama dan kaum, pastinya ia akan membawa tekanan kepada pelbagai sektor industri dan turut menjejaskan tarikan pelancong bukan Islam ke dalam negara ini.

"Tidak mustahil pelancong akan menganggap kita sebagai negara ekstrem jika kita terus berkelakuan seperti ini.

"Jika ini berterusan, mereka tidak akan dapat mengalami 'first impression' yang baik terhadap Malaysia, pelancong tidak akan gembira dengan pengalaman berada di sini dan memilih untuk pergi ke negara lain sebagai destinasi pelancongan," katanya.

Muhammad Fawwaz pada Khamis menafikan dakwaan kononnya melarang penjualan arak di sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Sebaliknya kata beliau, pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut diminta supaya menjual di kawasan khas yang lebih tertutup berbanding dijual secara terbuka dan boleh dilihat semua pengunjung termasuk orang Islam.