JUARA dua kali, Vietnam gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila terikat 2-2 dengan juara bertahan, Thailand, pada aksi final pertama Piala AFF 2022 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, pada Jumaat.
Pemain gantian Vu Van Thanh, muncul penyelamat apabila jaringannya dua minit sebelum masa sebenar tamat berjaya mengelakkan tuan rumah daripada mengalami kekalahan ke atas pelawat.
Vietnam bermula garang apabila percubaan leret penyerang, Pham Tuan Hai pada minit ke-10 tersasar di sebelah kiri gol sebelum sepakan deras oleh penyerang lawan, Adisak Kraisorn hampir mencemaskan pintu gol tuan rumah namun diselamatkan penjaga gol, Dang Van Lam, pada minit ke-14.
Penyerang Nguyen Tien Linh kemudian menggamatkan penyokong tuan rumah apabila menerbangkan badannya sebelum melepaskan tandukan berbisa untuk gol pertama perlawanan selepas menyambut hantaran lintang dari sebelah kanan oleh pemain pertahanan, Que Ngoc Hai, pada minit ke-24.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Thailand yang menggandakan usaha untuk menembusi gawang Golden Star Warriors nyaris menyamakan kedudukan namun sepakan percuma ketua pasukan, Theerathon Bunmathan hanya menggegar tiang kanan Vietnam, tiga minit sebelum separuh masa pertama tamat.
Tiga minit selepas babak kedua bersambung, skuad kendalian Alexandre Polking berjaya mengikat kedudukan 1-1 menerusi rembatan kaki kanan penyerang, Poramet Arjvirai, yang mendapat umpanan cantik dari tengah padang oleh Theerathon.
Theerathon sekali lagi menjadi arkitek buat 'Gajah Perang' apabila bola lorongannya dimanfaatkan tonggak tengah, Sarach Yooyen, yang berjaya melepasi perangkap offside sebelum melepaskan sepakan kaki kanan untuk menggandakan jaringan Thailand pada minit ke-63.
Pasukan bimbingan Park Hang Seo yang terdesak untuk mencari jaringan akhirnya berjaya membuatkan Stadium Nasional My Dinh kembali bernyawa apabila Van Thanh meledak rembatan padu dari luar kotak penalti, pada minit ke-88.
Bagaimanapun, Van Lam menjadi wira pasukannya apabila berjaya menafikan percubaan pemain gantian pelawat Ekanit Panya pada minit keempat masa kecederaan babak kedua, sekali gus menjadikan kedudukan kekal 2-2 sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil.
Kedudukan berkenaan pastinya melegakan Thailand apabila bakal melayan Vietnam di Stadium Thammasat, Pathum Thani, pada aksi timbal balik Isnin ini.