KUALA TERENGGANU - Rangkaian restoran makanan segera jenama antarabangsa milik kerajaan negeri, Chicken Cottage cawangan Kuala Terengganu akan menghentikan operasinya selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat setelah penilaian prestasi keseluruhan Chicken Cottage dalam dan luar negara, bagi mengurangkan kerugian.
Bagaimanapun katanya, Chicken Cottage cawangan Kuala Terengganu tidak akan ditutup sepenuhnya, sebaliknya dijangka akan dibuka semula dalam tempoh dua tahun lagi di lokasi yang lebih sesuai.
"Mengikut perancangan, kita akan berpindah ke lokasi baharu yang lebih baik. Kita jangkakan apabila siap Mayang Mall (pusat membeli belah baharu), kita akan berpindah ke sana.
"Buat masa ini, cawangan Kuala Terengganu dalam proses tutup. Sehingga tempoh itu, semua kakitangan dalam proses untuk kita tempatkan sementara di anak-anak syarikat kerajaan negeri yang lain.
"Kita ada lebih 100 anak syarikat dan akan lihat mana yang bersesuaian dengan mereka. Dengan pilihan, sekiranya kita buka balik di Mayang Mall, mereka akan diberikan keutamaan untuk kembali semula,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Chicken Cottage cawangan Kuala Terengganu mula beroperasi di Ladang Tok Pelam pada 18 Disember 2014 manakala cawangan kedua di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dibuka pada 1 April 2018.
Chicken Cottage yang mula beroperasi di Wembley, United Kingdom pada 1994 adalah satu nama yang semakin kukuh dalam industri restoran makanan segera dan mempunyai lebih 100 francais di United Kingdom, Eropah, Afrika Utara dan Asia Barat.
Sayap pelaburan negeri, Terengganu Inc. Sdn. Bhd. (TISB) bersama Global Food Brand Limited telah menubuhkan TIGFH bagi menguasai 70 peratus saham Chicken Cottage Limited dan memiliki jenama itu pada Febuari 2014 daripada pemilik terdahulu, sekali gus menjadikannya sebagai jenama Malaysia sepenuhnya.