SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyarankan kerajaan mengukuhkan nilai ringgit bagi mengawal dan menurunkan harga barang makanan di negara ini.
Presiden FOMCA, Profesor Datuk Dr N Marimuthu berkata, ia kerana Malaysia bukan negara pengeluar makanan dan menjadi pengimport tegar hampir 100 peratus bekalan makanan dengan nilai import mencecah RM60 bilion setahun.
"Kita import hampir semua bahan makanan sejak dahulu lagi jadi harganya tidak boleh turun dengan segera.
"Apa yang patut kerajaan buat adalah mengukuhkan nilai mata wang kita kerana urus niaga dilakukan dengan mata wang asing terutama dalam dolar Amerika Syarikat,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Bagaimanapun, Marimuthu memberitahu, memandangkan kerajaan Perpaduan Malaysia baru sahaja terbentuk, mereka wajar diberikan sedikit masa untuk mengukuhkan semula mata wang ringgit berkenaan.
Selain itu, beliau menegaskan, kerajaan juga perlu merangka dasar pertanian yang mampan untuk jangka masa lima, 10 dan 20 tahun.
"Kalau kita mempunyai bekalan barangan asas sendiri seperti 30 hingga 40 peratus dan hanya bakinya kita import maka kita boleh main dengan harga.
"Sekarang kita adalah pengimport tegar jadi semua harga-harga barang makanan ditentukan oleh pasaran dunia, bukan kita.
"Jadi kalau kerajaan dapat segera lakukan dua saranan ini maka kita akan lihat rakyat akan makmur,” ujarnya.
Marimuthu menambah, isu kenaikan harga barang makanan dan kenaikan kos sara hidup saban tahun menjadi kebimbangan serta disuarakan Fomca sejak era pentadbiran Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi iaitu pada 2003.
"Berulang kali kami nyatakan kebimbangan kenaikan harga barang makanan secara berterusan ini tetapi kerajaan sebelum ini tidak mengambil langkah terbaik yang membuatkan kita merana sehingga sekarang,” kata beliau.