JAKARTA - Pasangan Joko Widodo dan Ma' ruf Amin mendahului pencabar mereka pada pilihan raya presiden Indonesia 2019 (Pilpres 2019).
Hasil hitung cepat (quick count) yang dilakukan badan-badan survey di Indonesia, menunjukkan pasangan itu selesa mendahului pasangan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.
Sebanyak 40 badan bebas berdaftar dengan Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia, bagi melakukan hitung cepat Pilpres 2019 itu.
Hasil hitung cepat ini adalah keputusan tidak rasmi, dengan badan-badan terbabit menggunakan hasil kiraan undi di pusat pengundian atau Tempat Pemungutan Suara (TPS) terpilih yang dijadikan sampel dalam proses hitung cepat itu.
Badan-badan itu menggunakan sampel hasil kiraan undi di 3,000 hingga 6,000 TPS yang dipilih mereka, berdasarkan pemilihan TPS atas kriteria tertentu.
Bagaimanapun Prabowo dalam sidang akbar yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan, mendakwa hasil hitung cepat yang turut dilakukan pihaknya, menunjukkan mereka mendahului melebihi 50 peratus pada Pilpres 2019 itu.
Jokowi dalam sidang akhbar ketika memantau proses hitung cepat di Djakarta Theater, berkata sekalipun hasil survey menunjukkan beliau menang, namun rakyat Indonesia perlu menunggu keputusan rasmi daripada KPU.
Rakyat Indonesia hari ini mengundi pada pilihan raya umum 2019 (Pemilu 2019), bagi memilih presiden untuk negara ketiga terbesar di dunia yang mengamalkan sistem demokrasi itu.
Lebih 192 juta pengundi berdaftar atau tepatnya, 192,828,520 pengundi, layak memilih presiden Indonesia bagi tempoh 2019-2024.
Lebih 780,000 TPS atau pusat pengundian dibuka jam 7 pagi hingga 1 tengah hari tadi di seluruh Indonesia.
Pemilu 2019, pertama kali diadakan serentak bagi memilih Presiden Indonesia untuk tempoh 2019-2024 (Pilpres 2019), pemilihan 711 anggota Majelis Permusyarawatan Rakyat (MPR), 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), 136 Dewan Perwakilan Daerah (DPD) serta anggota dewan legislatif seramai 19,500 orang melibatkan lebih 2,000 daerah dan perbandaran.
Tumpuan pastinya pemilihan presiden Indonesia atau Pilpres, melibatkan Presiden Jokowi, 57, yang akan mempertahankan jawatannya untuk penggal kedua bergandingan dengan gandingan baharu Ma’ruf Amin, 76, seorang ulama berpengaruh Indonesia, sebagai naib Presiden. Pasangan Jokowi-Ma'ruf itu ditentang bekas ketua tentera Prabowo, 67, yang bergandingan dengan bekas timbalan gabenor Jakarta, Sandiaga, 49 tahun.
Berdasarkan hasil hitung cepat oleh badan-badan bebas itu, antaranya Penelitian dan Pengembangan (Litbang) KOMPAS, Indo Barometer, Charta Politika Indonesia, Poltraking Indonesia dan Indikator Politik Indonesia, pasangan Jokowi-Ma'ruf memperolehi peratusan undi antara 54 hingga 56 peratus, manakala pasangan Prabowo-Sandiaga memperolehi peratusan antara 44 hingga 46 peratus.
Berdasarkan Pilihan Raya Indonesia 2014, hasil hitung cepat yang dilakukan badan-badan bebas ini ternyata hampir 99 peratus tepat.
Keputusan rasmi Pemilu 2019 hanya akan diumumkan KPU secara progresif mulai 25 April hingga 22 Mei 2019, manakala pengumuman rasmi Presiden dan Naib Presiden Indonesia dijadual pada 20 Oktober 2019. - Bernama