Pengurusan kewangan berhemat pulih sentimen perniagaan

Iklan
Rafizi

KUALA LUMPUR - Pengurusan kewangan yang lebih baik pada 2023 mampu memulihkan sentimen perniagaan dan pelaburan Malaysia malah kesannya secara tidak langsung akan dinikmati oleh rakyat dalam jangka masa satu tahun, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, pengurusan kewangan yang lebih baik juga mampu mengukuhkan ruang fiskal sedikit demi sedikit.

Iklan
Iklan

"Apabila ia (pengurusan kewangan) dijalankan dengan lebih berhemat, insya-Allah pada 2024 kita akan mempunyai lebih banyak ruang untuk berbelanja,” katanya ketika sesi temu ramah Ayuh Malaysia Show bertema ‘Ekonomi Malaysia: Antara Persepsi dan Realiti’ pada Jumaat.

Beliau berkata, kedudukan ekonomi negara dilihat lebih berdaya tahan berbanding kedudukan fiskal yang dilihat sedikit rendah.

Iklan

Selain itu, Rafizi berkata, yang menentukan kedudukan aliran tunai kerajaan adalah jumlah cukai yang dikutip dan jenis aliran pendapatan yang masuk ke kantung kerajaan.

"Ekonomi tumbuh (namun) tidak semua menjadi hasil kerajaan kerana komponen paling besar adalah cukai pendapatan sama ada individu atau syarikat. Sekiranya ekonomi berkembang tetapi pendapatan individu tidak meningkat dan syarikat tidak untung maka tidak ada penambahan hasil untuk negara,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, berbanding dengan negara di ASEAN, Malaysia berada pada kedudukan ketiga dari bawah dari segi peratusan pendapatan cukai kepada kerajaan iaitu 11.4 peratus, negara ASEAN lain pada kadar 15 peratus sementara, negara maju adalah lebih tinggi iaitu dalam lingkungan 25 hingga 30 peratus.

"Ini adalah antara masalah struktur yang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mencari jalan menanganinya dalam jangka masa sederhana dan panjang serta memastikan pertumbuhan gaji boleh sepadan dengan kenaikan harga barang,” katanya.

Walau bagaimanapun, Rafizi berkata, sekiranya keadaan kewangan dapat diurus dengan baik dengan mengurangkan ketirisan, rasuah dan sebagainya maka negara tidak akan berada dalam keadaan terdesak.

"Maksudnya, dengan hasil yang kita ada lebih kurang RM290 bilion setiap tahun, kalau diuruskan dengan baik, belanja dengan baik dengan merancang keutamaan perbelanjaan, kita boleh bertahan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Bajet 2023 yang disemak semula di Dewan Rakyat pada 24 Februari 2023. - Bernama