BEKAS pemain beregu badminton campuran negara, Goh Liu Ying tidak dapat menahan sebak ketika berucap dalam majlis perpisahannya di Axiata Arena, Bukit Jalil pagi tadi.
Anak kelahiran Alor Gajah, Melaka berusia 33 tahun itu hampir mengalirkan air mata ketika mengimbas kembali perjalanan kariernya di hadapan hampir 1,000 peminat badminton Malaysia.
Malah, Liu Ying turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama bapa dan ibunya, Goh Chak Wee dan Yong Oi Lin yang sentiasa menjadi 'tulang belakang' kepadanya selama ini.
"Sekarang you dah boleh lega (saya sudah bersara). Tak tahu keputusan itu betul atau tidak... harap dia boleh rasa lega sekarang dengan keputusan saya,” katanya.
Untuk rekod, Liu Ying yang meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 ketika bergandingan bersama Chan Peng Soon mengalami beberapa siri kecederaan sepanjang kariernya.
Paling memberi kesan terhadap karier Liu Ying apabila dia terpaksa berehat panjang pada 2014 selepas menjalani pembedahan lutut dan bahu tiga tahun kemudian.
Dalam pada itu, Chak Wee mengakui perasaannya bercampur baur antara sedih dan gembira dengan keputusan Liu Ying untuk 'menggantung raket'.
"Sangat sedih kerana selepas ini tak ada peluang tengok dia di gelanggang (badminton). Ini kerana sejak kecil saya sudah bawa dia merata-rata tempat termasuk Sukan Olimpik.
"Apapun saya bangga dengan pencapaiannya selama ini. Paling membanggakan apabila dia atas podium (meraih perak) Olimpik 2016, sampai tak tahu nak cakap apa,” ujarnya.
Terdahulu, Liu Ying berpasangan bersama Peng Soon dan Cheah Liek Hou menentang Koo Kien Keat, Tan Boon Heong dan Zhang Bei Wen pada perlawanan pertunjukan - acara yang diadakan sempena majlis perpisahannya.