KUALA PILAH - Kerajaan Negeri Sembilan merangka 64 inisiatif dalam pelbagai bidang untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat berikutan pertumbuhan ekonomi diramal perlahan tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, inisiatif itu merangkumi pemerkasaan ekonomi rakyat, kebajikan, pendidikan, modal insan, pembangunan belia dan wanita serta pentadbiran.
"Namun patik amat bersyukur apabila pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan menunjukkan perkembangan yang positif pasca Covid-19.
"Tahun 2023, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Sembilan diunjurkan berkembang antara empat hingga lima peratus dan KDNK Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan dengan kadar pertumbuhan sebanyak 3.0 peratus pada tahun 2021 berbanding negatif 3.6 peratus pada tahun sebelumnya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan tahniah dan taat setia sempena Hari Keputeraan Ke-75, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Seri Menanti di sini pada Sabtu.
Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Menurutnya, sektor pembuatan dan sektor Perkhidmatan menunjukkan pemulihan dengan masing-masing berkembang positif sebanyak 7.2 peratus dan 2.0 peratus.
Tambahnya, ekonomi negeri juga terus dipacu oleh sektor perkhidmatan yang merupakan penyumbang tertinggi KDNK negeri iaitu sebanyak 50.9 peratus, diikuti sektor pembuatan sebanyak 37.7 peratus dan sektor pertanian sebanyak 6.9 peratus.
"Periuk nasi sama diisi, untung sama berbahagi, maka kekayaan dan kemakmuran hasil negeri yang sedang dikecapi ini, diukir agar kekal mampan dan berdaya tahan," katanya.
Selain itu katanya, kerajaan negeri terus melangkah ke hadapan dengan melancarkan Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021–2025 (RPNS 2021-2025) dan Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan 2027 (PEDNS 2027) berasaskan prinsip utama kemakmuran ekonomi serta merancakkan pembangunan ekonomi digital.
Beliau berkata, negeri ini juga terus menjadi pilihan pelabur apabila Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan sehingga suku kedua tahun 2022, mencatatkan sebanyak RM1.48 bilion pelaburan.
"Permohonan pelaburan sebanyak RM6.44 bilion turut dikemukakan kepada MIDA dan sedang menunggu kelulusan.
"Ini termasuk pelaburan berjumlah RM6 bilion daripada Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd (SDIEM) untuk membina sebuah kilang membuat Sel Bateri Kenderaan Elektrik (EV) Fasa 2 di Senawang," katanya.
Aminuddin juga menegaskan bahawa kerajaan negeri akan sentiasa menjunjung tinggi sistem adat Perpatih yang diamalkan di negeri ini dan akan tetap mempertahankan kedaulatannya.