[VIDEO] PRN: Rafizi jangka Selangor kekal milik PH

Iklan
Rafizi.

SHAH ALAM- Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menjangkakan Negeri Selangor akan kekal menjadi milik Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) mendatang berdasarkan penerimaan baik pengundi PH pada idea Kerajaan Perpaduan.

Menurut Rafizi, berdasarkan data yang sedia ada dan akan ditambah baik pada enam bulan mendatang mendapati kerajaan PH Selangor mampu mengekalkan kemenangan 40 kerusi sedia ada dan berkemungkinan boleh memenangi antara 45-47 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) daripada 56 kerusi keseluruhan.

Iklan
Iklan

"Setakat ini kalau kita tengok kepada beberapa kaji selidik berasingan menunjukkan bahawa pengundi PH menerima baik gabungan ini, sepatutnya PH hendak kekalkan kerusi itu sebenarnya agak mudah, tanda-tanda yang paling kuat menyokong dan menerima realiti Kerajaan Perpaduan ini adalah penyokong PH terutamanya penyokong bandar dan separa bandar yang faham tentang keperluan dasar yang hendak dibuat.

"Akar umbi PH terima baik cadangan ini cuma cabarannya ialah hendak tentukan berapa banyak yang boleh kita yakinkan pengundi BN sebelum ini untuk undi gabungan PH-BN ini, jadi kalau dilihat kita sepatutnya boleh mempertahankan 40 kerusi tetapi dari segi margin untuk mempertahankan Selangor itu agak besar dan selesa," katanya dalam sidang media selepas berakhirnya Konvensyen Pilihan Raya Negeri Selangor yang belangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, pada Sabtu.

Iklan

Sementara itu bercakap mengenai status agihan kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri, Rafizi berkata pihaknya masih belum mengadakan rundingan dengan rakan sekutu baharu mereka iaitu BN.

"Status agihan kerusi bersama BN belum bermula, kita memang akan buat keputusan itu maksudnya di sebelah PH pun kita kena buat keputusan itu di BN pun kena buat keputusan itu, sebab saya ingat setakat ini gambarannya adalah akan ada kerjasama PRN antara PH dan juga BN, masuk dalam PRN enam buah negeri ini, tetapi prosesnya itu saya ingat kita juga bergantung kepada apa yang berlaku dalam UMNO sekarang.

Iklan

"Kerana parti itu sekarang tengah melalui Perhimpunan Agungnya, jadi kita tertakluk kepada proses dalaman UMNO yang mana ia diluar kawalan kita, di pihak PH kita akan terus buat persiapan dengan sasaran supaya PH boleh pertahankan ketiga-tiga negeri PH," katanya.

Dalam perkembangan lain ketika menyentuh mengenai permohonan maaf dan rayuan bekas Naib Presiden PKR yang dipecat, Tian Chua, terhadap Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rafizi mengesyorkan supaya Tian Chua melalui proses rayuan PKR seperti mana mereka yang lain.

Jelasnya, sekiranya Tian Chua melangkaui proses berkenaan ia berkemungkinan besar memberi signal yang salah terhadap 'pesalah' PKR yang lain.

"Saya cadangkan kepada saudara Tian Chua kalau pun dia hendak merayu kepada belas ihsan presiden parti lebih baik dia juga melalui proses Lembaga Rayuan itu.

"Contohnya dia tidak merayu kemudian dia merayu terus kepada presiden nanti dia menjadi serba salah dan sukar kepada yang lain kena pecat juga, jadi kita bagi signal yang tidak baik kepada anggota lain, maksudnya ada 'double standard' kalau orang ini tidak payah melalui Lembaga Rayuan," katanya.

Tian Chua sebelum ini menerusi satu kenyataan berharap Anwar memaafkannya kerana melanggar peraturan dan menerimanya semula sebagai ahli.

Keahliannya ditamatkan minggu lalu susulan tindakan bertanding sebagai calon bebas menentang calon PKR, pada PRU15, November lalu.

Beliau diberikan tempoh 14 hari mengemukakan rayuan, namun bekas Ahli Parlimen Batu dua penggal itu, mengakui tidak mempunyai alasan"mempertahankan diri”.

Tian Chua bertembung dengan calon PKR, P Prabakaran dan lapan lagi calon lain bagi kerusi Batu, di mana beliau hilang deposit selepas sekadar meraih 4,603 undi.

Pada 7 Januari, Majlis Pimpinan Pusat PKR memecatnya dan empat ahli lain kerana bertanding pada PRU15 dan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, pada 2021, tanpa restu parti.

Empat yang lain membabitkan Puah Chee Haur (bahagian Parit Buntar), Ahmad Tarmizi Ghazali (Gopeng), M Mohganan (Taiping) dan Nur Khairunisa Abdullah (Sadong Jaya).