IPOH - Kisah seorang bapa sanggup tinggal sementara di dalam kereta Proton Satria demi anaknya berusia lapan tahun yang menghidap tumor otak mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
MAIPk dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menziarahi keluarga Adi Saifullizam Abdul Sani, 40, bagi mendalami permasalahan yang dihadapinya.
"Hasil siasatan awal mendapati Adi Saifullizam yang menetap di Trolak, Sungkai bekerja sebagai operator kilang sarung tangan getah di Bidor dengan pendapatan sekitar RM1,810 sebulan.
"Isterinya merupakan suri rumah dan tiga orang anak berusia 15, 12 tahun dan anak bongsu, Muhammad Afeef Mikhail, 8, disyaki menghidap tumor otak," katanya.
Menurutnya, MAIPk Daerah Ipoh menyampaikan bantuan kecemasan berjumlah RM300 ketika melawat Wad Kanak-Kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
"Sumbangan kepada isterinya adalah bagi meringankan bebanan yang ditanggung Adi Saifullizam sekeluarga.
"Semoga urusan keluarga ini dipermudahkan dan Muhammad Afeef Mikhail cepat kembali sembuh," katanya.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan kisah Adi Saifullizam bermalam dalam keretanya demi menjaga anaknya yang mendapat rawatan di HRPB meraih perhatian rakyat Malaysia yang menghulurkan bantuan tanpa henti.
Gambar yang dikongsikan di dalam kumpulan sembang tular, ramai pihak memberikan kata-kata semangat dan mendoakan agar anaknya itu kembali sihat.
Adi Saifullizam berkata, anak bongsunya itu disahkan menghidap tumor oleh pihak hospital selepas pada asalnya hanya terdapat bengkak pada bahagian mata, namun kaedah dan kos rawatan belum diketahui sepenuhnya ketika ini.