SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sebanyak 2 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya pada hari puncak sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, hari yang dijangka mencatatkan jumlah trafik tertinggi adalah 20 hingga 21 Januari dan 24 Januari ini.
Menurutnya, ia merupakan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding jumlah trafik pada hari biasa.
"Justeru bagi menguruskan lonjakan trafik pada perayaan kali ini, PLUS telah membuat persediaan awal selain mengatur pelbagai strategi bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan lebih selamat dan selesa ketika berada di lebuh raya.
"Strategi tersebut merangkumi aspek keselamatan lebuh raya, pengurusan trafik dan kesesakan, pengagihan trafik, keselesaan pengguna, pengurusan lalu lintas di plaza tol, hebahan maklumat trafik dan sebagainya.
"Fokus kami pada hari perayaan kali ini adalah aspek keselamatan di lebuh raya di mana pelbagai strategi telah dikenal pasti dan akan dilaksanakan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada masa sama beliau berkata, pihaknya memohon kerjasama pengguna motosikal dan pemandu kenderaan berat supaya lebih berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya sepanjang musim perayaan tersebut.
Dalam pada itu, Zakaria berkata, penunggang motosikal menyumbang kepada kira-kira 64 peratus daripada keseluruhan jumlah kemalangan maut di lebuh raya PLUS pada tahun 2022.
"Kemalangan membabitkan kenderaan berat pula sering menyebabkan kesesakan yang teruk memandangkan ia mengambil tempoh agak panjang untuk dialihkan dan diselesaikan serta memerlukan kehadiran serta bantuan jentera-jentera berat seperti kren dan sebagainya,” ujarnya.
Justeru itu, beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan advokasi di lebuh raya pada musim perayaan berkenaan.
"Selain itu, jumlah pasukan peronda lebuh raya merangkumi PLUS Ronda dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) akan ditambah kepada 265 pasukan bagi membantu pengguna lebuh raya yang mengalami kerosakan kenderaan atau kecemasan.
"PLUS turut mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan dan LPT2 bagi membantu orang ramai merancang perjalanan mereka untuk pulang ke kampung atau kembali semula ke Lembah Klang," jelasnya.
Tambah beliau, pemandu juga dinasihatkan agar menggunakan mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari lebuh raya.
"Sebagai contoh, sekiranya pengguna menggunakan mod Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) ketika masuk ke lebuh raya, mereka juga mestilah keluar dari lebuh raya melalui lorong RFID.
"Ini dapat mengelakkan mereka terkandas di lorong tol dan memberi kesan kepada perjalanan orang lain selain baki e-Wallet (bagi transaksi RFID) dan baki kad 'Touch n Go' sentiasa mencukupi untuk perjalanan tersebut," tambahnya.
Jelas beliau, orang ramai juga disarankan agar menggunakan aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan dengan lebih efisien.