Isham buktikan tiada 'pengundi hantu' seperti didakwa KJ

Iklan
Isham berkongsi suasana di dalam Dewan Merdeka.

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menolak dakwaan kemungkinan wujud 'pengundi hantu' bagi meluluskan usul tambahan supaya tidak membenarkan dua jawatan tertinggi dalam parti itu dipertandingkan.

Malah, Isham menerusi hantaran di Facebooknya turut berkongsi suasana di dalam Dewan Merdeka yang menurutnya, perbincangan dan mesyuarat berjalan dalam keadaan mesra dan teratur.

Iklan
Iklan

"Dakwaan KJ (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) ini tidak benar. Saya ada dalam Dewan Merdeka sekarang, tidak ada perwakilan import seperti dituduh atau difitnah KJ," katanya.

Menurut Isham, bekas Ketua Pemuda UMNO itu pastinya tahu, setiap perwakilan di dalam Dewan Merdeka yang mewakili bahagian masing-masing kenal sesama sendiri.

Iklan

"Jika ada orang yang mereka tidak kenal atau tidak sepatutnya berada di situ, mereka akan tahu dan pemeriksa-pemeriksa pas pun akan tahu.

"Saya saran dengan segala hormatnya supaya KJ datang sendiri ke Dewan Merdeka sekarang dan tunjuk mana satu perwakilan import yang didakwanya tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Iklan

Beliau dalam pada itu turut menggesa, bekas Ahli Parlimen Rembau itu memohon maaf kepada semua perwakilan UMNO kerana telah menuduh mereka diimport.

"KJ perlu minta maaf kepada pemeriksa-pemeriksa pas dan skuad sabil Pemuda kerana telah memfitnah mereka tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

"Fitnah itu lebih teruk daripada membunuh,” ujarnya.

Khairy sebelum ini mendakwa, beberapa tanda nama yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO pada kerusi dalam Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur telah ditanggalkan.

Keadaan itu, dakwa Khairy berkemungkinan besar bagi membawa masuk pengundi luar bagi meluluskan usul supaya tidak membenarkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan.