PAU 2022: Jawatan Presiden, Timbalan sah tidak dipertandingkan

Iklan
Majoriti perwakilan dalam perhimpunan PAU 2022 pada Sabtu bersetuju agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 pada Sabtu.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, usul berkenaan disokong oleh hampir kesemua perwakilan yang terlibat.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah setelah dicadang dan dibahas, semua usul yang dibawa oleh perwakilan-perwakilan UMNO dari negeri-negeri di seluruh Malaysia termasuk usul tambahan (supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dikekalkan dan tidak dicabar pada pemilihan tahun ini) telah diterima dan disokong oleh hampir semua perwakilan dalam Dewan Merdeka petang ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Isu pemilihan UMNO menjadi tumpuan ramai selepas wujud cadangan agar dua jawatan tertinggi dalam parti Melayu terbesar itu tidak dicabar.

Iklan

Ahmad Zahid menang jawatan Presiden untuk tempoh 2018-2021 pada Pemilihan UMNO 2018.

Beliau menewaskan pencabarnya termasuk Khairy dan bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Iklan

Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, Khairy (51 undi), manakala Tengku Razaleigh ataupun Ku Li mendapat 23 undi.

Mohamad yang merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan pula menang dengan 75 undi menewaskan bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa bagi saingan jawatan Timbalan Presiden.