Terengganu fokus bangunkan sukan pelayaran OKU

Iklan
Program pembangunan sukan pelayaran atlet kurang upaya bagi kategori bot Hansaa Access 2.3 telah berlangsung sejak penghujung tahun 2021. Gambar kecil: Ibni Amin

TERENGGANU memberi fokus dalam membangunkan sukan pelayaran orang kurang upaya (OKU) bagi meningkatkan kualiti dan melahirkan lebih ramai atlet yang cemerlang.

Program pembangunan sukan pelayaran negeri Terengganu terbukti melalui kejayaan demi kejayaan yang dilakar atlet kelahiran negeri itu sama ada di pentas kebangsaan mahupun antarabangsa.

Iklan
Iklan

Presiden Persatuan Pelayaran Terengganu, Ibni Amin Busu berkata, prospek podium bagi acara sukan pelayaran di peringkat antarabangsa khususnya di pentas kejohanan Asia mahupun pentas tertinggi dunia Paralimpik mampu meletakkan pasukan itu berada dalam kelas tersendiri untuk digilap lebih awal.

Atlet kurang upaya bagi kategori bot Hansaa Access 2.3 berlatih di Pusat Latihan Sukan Pelayaran Terengganu, Pulau Duyong, di Kuala Terengganu.

Beliau memberitahu, sehingga kini 10 atlet OKU telah memulakan program latihan bot Hansaa Access 2.3 serta aktif menyertai beberapa kejohanan domestik sejak tahun lalu.

Iklan

"Hala tuju pembangunan sukan pelayaran melibatkan atlet kurang upaya ini bakal mempunyai masa depan yang lebih cerah sekiranya ia kembali dipertandingkan di pentas Sukan Para Malaysia (Para SUKMA).

"Selain itu, ia secara tidak langsung menjadi tanggungjawab sosial kami untuk memberi peluang dan ruang kepada golongan ini untuk menceburi sukan berkenaan,"kata bekas pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) itu.

Iklan

Beliau berkata, ia seiring dengan objektif penganjuran Para SUKMA untuk melahirkan atlet-atlet berkualiti bagi mewakili negara ke pentas lebih tinggi seperti Sukan Asia mahupun Paralimpik yang menjadi pentas tertinggi buat mereka.

"Kita tidak boleh menafikan keupayaan mereka kerana mereka mampu digilap untuk menjadi atlet-atlet bertaraf profesional, cuma kita perlu memberi peluang dan ruang sama rata buat mereka khususnya penglibatan dalam sebarang kejohanan-kejohanan yang berlangsung khususnya dalam negara.

"Begitu juga buat buat kami di Terengganu untuk menganjurkan beberapa kejohanan di sini setelah memulakan program pendedahan sukan pelayaran kepada mereka.

"Sebab itulah kami perlu sentiasa merangka untuk penambahbaikan dalam perlaksanaan program pembangunan sukan pelayaran secara komprehensif termasuk program kejurulatihan supaya lebih ramai yang terlibat," ujarnya ketika ditemui pemberita, baru-baru ini.

Menurut Ibni Amin, apa yang diusahakan itu sebagai penanda aras buat pasukan pelayaran Terengganu untuk terus melahirkan atlet-atlet berkualiti yang sentiasa bersedia untuk menyertai sebarang kejohanan termasuk kem latihan kebangsaan.

Dalam perkembangan sama, katanya, kalendar sukan pelayaran Terengganu tahun ini dimeriahkan dengan penganjuran empat siri perlumbaan yang akan mempertaruhkan lima kategori termasuk Hansaa Access 2.3 bagi atlet kurang upaya.

Kata beliau, perlumbaan itu akan berlangsung di perairan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu dan Tasik Puteri di Dungun.