SHAH ALAM - Dakwaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) di Sungai Golok, Kelantan menjadi punca kepada banjir di beberapa kawasan sekitarnya baru-baru ini, adalah tidak benar.
Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Dr Md Nasir Md Noh berkata, tempat yang dilanda bencana itu telah diklasifikasikan sebagai kawasan rendah oleh pihaknya.
Menurutnya, selain itu Kelantan juga telah menerima hujan yang sangat lebat melebihi kebiasaan dengan kadar 800 milimeter (mm) berbanding 500 mm bermula dari 17 hingga 19 Disember lalu.
"Ini menyebabkan aras air sungai-sungai utama melimpah melebihi aras ban sehingga menjadi punca kepada kejadian ban pecah di Lanchang Lemal yang telah berlaku pada 20 Disember 2022.
"Lokasi ban pecah tersebut merupakan kawasan projek yang masih belum siap sepenuhnya. Fenomena air laut pasang besar turut mendorong keadaan sedemikian kerana air sungai tidak dapat mengalir keluar ke laut dengan cepat sehingga menyebabkan banjir di bahagian hilir Sungai Golok,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, lebih 30,000 orang penduduk daripada kawasan yang dilanda bencana itu mengadakan demonstrasi bagi membantah projek tersebut.
Mereka mendakwa, semenjak ia dijalankan keadaan banjir di semua kampung menjadi semakin teruk dengan kemuncaknya pada Disember lalu.
Dalam pada itu, Md Nasir menambah, projek PLSB Sungai Golok yang bertujuan mengurangkan masalah banjir di kawasan berdekatan Sungai Golok di Tumpat dan sebahagian Pasir Mas mempunyai tiga fasa yang perlu dilaksanakan.
"Projek PLSB Sungai Golok Fasa 1 telah diluluskan dan dibiayai oleh kerajaan Persekutuan dengan peruntukan sebanyak RM656 juta yang dijangka siap sepenuhnya pada 13 Ogos tahun ini,” jelas beliau.