Solat hajat keselamatan lima anak kapal MV Dai Cat 06 hilang

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
JOHOR BAHRU - Jabatan Laut Malaysia dan Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) mengadakan solat hajat bertujuan memohon keselamatan semua lima anak kapal kapal kargo Malaysia yang hilang sejak 1 Januari lalu.

Solat hajat untuk kapal MV Dai Cat 06 dijadual akan diadakan serentak pada malam Sabtu selepas solat Isyak di kawasan masing-masing sama ada di masjid atau rumah termasuk atas kapal.

Jabatan Laut Malaysia menerusi kenyataan dikeluarkan dalam Facebook rasminya turut meminta agar keluarga anak kapal terbabit bersabar dengan ujian yang dihadapi.

"Selain itu, kami juga mendoakan agar keluarga pelaut yang terlibat bersabar dengan ujian yang berat ini dan seterusnya operasi carilamat berlangsung dengan lancar dan berjaya," menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Pada 10 Januari lalu, media melaporkan kehilangan kapal MV Dai Cat 06 yang didedahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Kapal berukuran 52 meter itu membawa 527 batang besi bernilai RM726,205.

Lima kru kapal kargo itu membabitkan tiga warga tempatan serta dua warga Indonesia. Nakhoda kapal dikenali sebagai Adi, 43, dari Indonesia, manakala jurutera kanan kapal juga warga Indonesia, Damai Papane Ole, 57.

Warga Malaysia adalah ketua operasi kapal, Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24; Mohammad Sudeh Sudin, 20, dan Derrent Littor, 22.

MV Dai Cat 06 yang keluar dari jeti Perak pada 23 Disember 2022, sepatutnya tiba di Kuching pada 31 Disember lalu.

Ejen kapal membuat laporan polis pada 9 Januari lalu bahawa lokasi terakhir kapal dikesan menerusi 'Automatic Identification System' (AIS) adalah pada 1 Januari di perairan Indonesia, iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan Johor.

Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru dimaklumkan bahawa Maritime Rescue Control Centre (MRCC) Putrajaya mengarahkan MRSC Kuching melakukan pemantauan di perairan Kuching sekiranya terdapat pengesanan kapal terbabit.

Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia turut berusaha mengesan kapal berkenaan di barat laut Pemangkat.