JOHOR BAHRU - Jumlah pekerja asing terutamanya dalam sektor pembinaan dan perladangan di negara ini dijangka dapat diumumkan menjelang Mac 2023.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu sudah pun berada dalam peringkat akhir perbincangan bersama pihak industri terbabit sebelum dimuktamadkan.
Iklan
Iklan
"Isu pekerja asing ini harap dapat diselesaikan segera dan kabinet juga telah buat keputusan penting minggu lalu dengan menyasarkan tiga bulan atau pada Mac untuk berikan jumlah pekerja asing yang cukup dalam semua sektor terutamanya pembinaan dan perladangan.
"Malah, pihak industri juga sedia berbincang mengenai kestabilan harga barang sekiranya mereka mendapat pekerja yang secukupnya di sektor-sektor berkenaan (pembinaan, perladangan)," katanya selepas menyempurnakan perasmian pertandingan kaligrafi Tahun Baharu Cina di Paradigm Mall pada Sabtu.
Sementara itu, Salahuddin meminta orang ramai tampil membuat laporan berhubung isu kenaikan harga makanan di kantin-kantin sekolah ketika ini,.
Katanya, orang ramai diharap dapat menyalurkan maklumat lengkap berhubung perkara berkenaan.
"Beritahu sahaja di mana lokasi sekolah berkenaan dan kita akan siasat," tegasnya.