SKUAD hoki negara meraih pengalaman berharga biarpun tewas 0-4 kepada juara tiga kali, Belanda dalam aksi pertama Kumpulan C Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India pada Sabtu.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Birsa Munda itu, Belanda yang menghuni ranking ketiga dunia membuka tirai jaringan menerusi gol padang Thijs Van Dam pada minit ke-20.
Tersentak jaringan itu, Speedy Tigers cuba menyusun semula gerak, namun dikejutkan dengan gol kedua Belanda menerusi penalti stroke yang mudah disudahkan Jip Janssen mini ke-24.
Malaysia yang menghuni kedudukan ke-11 dunia memperoleh tiga pukul sudut penalti, namun gagal diterjemahkan dengan jaringan.
Bersambung babak kedua, Belanda menokok jaringan ketiga menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Teun Beins pada minit ke-48.
Ketika permainan menuju ke penghujung, Belanda menambah jaringan keempat menerusi gol padang Jorrit Croon.
Pada edisi 2018, Malaysia tewas 0-7 kepada Belanda.
Justeru, banyak 'kerja rumah' yang perlu dilakukan jurulatih, Arul Selvaraj menjelang perlawanan kedua yang menjadi misi wajib menang untuk Speedy Tigers pergi lebih jauh pada kejohanan kali ini.
Selepas aksi menentang Belanda, skuad negara akan bertemu Chile di venue sama pada Isnin sebelum bertemu New Zealand di Bhubaneswar dua hari selepas itu.