[DIKEMAS KINI] Kecederaan buku lali kanan memaksa juara bertahan dari Indonesia, Siti Fadia Silva Ramadhanti mengakhiri perjuangannya bersama Apriyani Rahayu pada pusingan separuh akhir beregu wanita di Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena pada Sabtu.
Apriyani, 24, dan Siti Fadia, 22, memberi laluan mudah buat pasangan ranking pertama dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China 21-9 pada set pertama sebelum Siti Fadia terjatuh ketika ketinggalan 2-0 pada set kedua, seterusnya menarik diri selepas 33 minit beraksi.
"Saya juga terkejut semasa set kedua, bola itu tidak susah cuma Siti Fadia tidak tahu mahu lepas atau ambil pukulan itu, jadi dia salah landing. Jadi saya kata kalau boleh (teruskan) ayuh, kalau tidak pun tiada masalah sebab dia yang tahu level kesakitan itu.
"Siti Fadia cedera di bahagian buku lali, jadi kemungkinan tidak parah. Kebiasaannya pemulihan di bahagian situ (buku lali) cepat sembuh dan sekiranya sempat kita akan pergi ke Terbuka India 2023, kalau tidak sempat sembuh jadi tidak akan pergi,” kata Apriyani.
Penarikan diri berkenaan menyaksikan pasangan China akan turun melakukan perhitungan bersama beregu Korea Selatan Baek Ha Na-Lee Yu Lim di pentas final pada Ahad.
Gandingan di ranking ke-20 dunia dari Korea Selatan itu telah melakukan kejutan apabila mengecewakan pemain keempat dunia Zhang Shu Xian-Zheng Yu dari China 21-17, 23-21 dalam perlawanan berlangsung 72 minit.
Ha Na, 22, berkata, mereka sudah bersedia fizikal dan mental untuk bermain dalam set penentuan namun berpuas hati kerana dapat melakukan pukulan berkualiti sekali gus menoktahkan kemenangan dengan set mudah.
"Dari segi keyakinan kami semakin baik, dan esok, kami berharap dapat melakukan lebih serangan memandangkan ia bukan perlawanan mudah. Kami mahu bermain tanpa rasa kesal,” katanya.
Sementara itu, gandingan beregu lelaki China, Liang Wei Keng-Wang Chang nyata berada dalam kelas tersendiri apabila mampu menundukkan pilihan ketujuh kejohanan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India, 21-16, 11-21, 21-15 dalam perlawanan yang berlangsung selama 64 minit.
Pasangan yang berada pada ranking ke-17 dunia itu akan membuat perhitungan bersama naib juara Terbuka Malaysia 2022, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia, selepas mereka berjaya menewaskan gandingan Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, 21-18, 21-17. - Bernama