Identiti seorang daripada dua mangsa rentung dikenal pasti

Iklan
Keadaan kemalangan libatkan sebuah kereta dan lori di KM28 Jalan Jerantut-Temerloh, Kuala Krau berhampiran jalan utama Kampung Dato Sharif Ahmad pada Sabtu.

TEMERLOH - Seorang lelaki berusia 35 tahun dikenal pasti antara dua mangsa rentung kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori di Kilometer (KM) 28 Jalan Jerantut-Temerloh, Kuala Krau berhampiran jalan utama Kampung Dato Sharif Ahmad pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff memberitahu, mangsa adalah penumpang kereta terlibat iaitu jenis Proton Persona dan berasal dari Kampung Pinang, Mukim Sok, Sik dekat Kedah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, identiti pemandu kereta yang juga seorang lelaki dewasa belum dikenal pasti setakat ini.

"Kemalangan melibatkan kereta tersebut dan sebuah lori 10 tan dengan muatan tanah.

Iklan

"Berdasarkan siasatan, kemalangan berlaku semasa kereta yang datang dari arah Temerloh menghala Jerantut memotong garisan berkembar dan dirempuh lori terbabit dari arah bertentangan.

"Akibat kemalangan tersebut, kereta itu diseret lebih kira-kira 20 hingga 30 meter dan terbakar," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Ujar beliau, pemandu dan penumpang kereta gagal diselamatkan akibat tersepit dalam kenderaan tersebut menyebabkan kedua-duanya rentung dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mangsa pertama yang dikeluarkan pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krau adalah dari kedudukan penumpang hadapan dan kad pengenalan mangsa ditemui," jelas Mohd Azhar.

Tambah beliau, pihak polis masih lagi meneruskan siasatan untuk mendapatkan maklumat terperinci dan meminta orang ramai mempunyai maklumat kejadian menghubungi talian 09-2716086 yang boleh dihubungi 24 jam.

Katanya, orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di talian BOLEH 019-2343449 bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," kata beliau.