KUALA LUMPUR - Keputusan perwakilan meluluskan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang dilihat menyukarkan lagi usaha menarik golongan muda terhadap parti itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana keputusan itu jelas bertentangan dengan hasrat dan aspirasi golongan berkenaan yang memperjuangkan demokrasi dan kebebasan termasuklah dalam isu memilih pemimpin.
"Apa yang membimbangkan saya adalah dari segi (persepsi) orang muda. Dalam perbahasan, kita banyak bercakap soal hendak kembalikan kepercayaan orang muda kepada kita kerana idealisme mereka bercakap tentang soal demokrasi dan sebagainya.
"Tentu sahaja melihat apa yang kita lakukan bertentangan dengan idealisme mereka. Mereka hendak sebuah parti yang terbuka, beri kebebasan, hak untuk bertanding sebagai contoh, tetapi tidak dipertandingkan.
"(Jadi), saya takut ia akan mengurangkan lagi kepercayaan orang muda terhadap keterbukaan UMNO yang merasakan akan menyekat (kebebasan) mereka,” katanya pada sidang media di Laman Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan perwakilan yang meluluskan usul tambahan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi dalam parti itu.
Terdahulu, PAU 2022 yang bersidang di Dewan Merdeka, WTCKL meluluskan usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Menurut Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, usul tambahan itu lulus selepas disokong oleh hampir kesemua perwakilan yang mengambil bahagian.
Ia sekali gus menyaksikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan masing-masing mengekalkan jawatan yang disandang mereka sebelum ini untuk tempoh dua tahun lagi.
Isu pemilihan UMNO menjadi tumpuan ramai selepas wujud cadangan agar dua jawatan tertinggi dalam parti Melayu terbesar itu tidak dicabar.
Ahmad Zahid menang jawatan Presiden untuk tempoh 2018-2021 pada Pemilihan UMNO 2018.
Beliau menewaskan pencabarnya termasuk Khairy dan bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, Khairy (51 undi), manakala Tengku Razaleigh mendapat 23 undi.
Mohamad yang merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan pula menang dengan 75 undi menewaskan bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa bagi saingan jawatan Timbalan Presiden.