PEMAIN nombor tujuh dunia, Kodai Naraoka tinggal selangkah lagi untuk menjadi wakil pertama Jepun berpeluang merangkul gelaran juara perseorangan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di sini.
Bagaimanapun, untuk memperolehnya pemain berusia 21 tahun itu perlu menewaskan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen dalam final kejohanan Super 1000 di Arena Axiata pada Ahad.
Naraoka, pemenang pingat gangsa Olimpik Remaja 2018 beraksi dalam satu daripada perlawanan badminton paling lama dalam sejarah selepas mengambil masa 113 minit (satu jam 35 minit) untuk menewaskan wakil Thailand Kunlavut Vitidsarn 21-17, 19-21, 21-17 dalam perlawanan separuh akhir yang dikenali sebagai"Pertarungan Bintang Meningkat Naik” pada Sabtu.
Untuk rekod, perlawanan badminton paling lama pernah direkodkan ialah semasa separuh akhir beregu wanita Kejohanan Badminton Asia 2016 antara wakil Jepun Kurumi Yonao-Naoko Fukuman dengan beregu Indonesia Greysia Polii-Nitya Krishinda Maheswari yang mengambil masa selama 161 minit.
Sementara itu, perlawanan perseorangan lelaki paling lama ialah antara pemain Denmark, Peter Rasmussen yang menewaskan wakil China Sun Jun dalam final Kejohanan Dunia 1997 di Glasgow yang berakhir selepas 124 minit.
Perlawanan separuh akhir antara Naraoka dan Kunlavut pada Sabtu amat sengit tetapi wakil Jepun itu muncul sebagai pemenang biarpun ini merupakan kali keempat beliau terpaksa bermain dalam set penentuan berturut-turut.
Beliau sebelum ini menyingkirkan pemain negara Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong masing-masing dalam pusingan pertama dan kedua sebelum menewaskan HS Prannoy dari India dalam aksi suku akhir semalam dengan kesemua perlawanan ditentukan menerusi set penentuan yang memakan masa keseluruhan 362 minit di gelanggang.
"Bukan strategi saya untuk bermain dalam perlawanan yang lama tetapi saya terus beraksi (berjuang sehingga tamat permainan) kerana saya sememangnya mahukan kemenangan. Memakan banyak nasi dan daging serta mendapatkan rehat secukupnya membantu saya untuk kekal cergas dalam pertarungan yang lama ini.
Baru-baru ini (sepanjang 2022), tiada pemain Jepun yang berjaya menewaskan Axelsen. Sejujurnya saya mahu menang tetapi saya pasti ia merupakan pertarungan yang sukar,” kata Naraoka.
Axelsen memenangi kesemua tiga perlawanan berhadapan Naraoka tetapi pemain Jepun itu hampir mengejutkan jaguh Denmark itu dalam pertemuan akhir mereka sebelum tewas 23-21, 19-21, 18-21 dalam pertarungan epik selama 83 minit semasa aksi separuh akhir Final Jelajah Dunia bulan lepas.
Sementara itu, Axelsen mempamerkan kehebatannya dengan menundukkan seorang lagi pemain Jepun, Kanta Tsuneyama - 21-7, 21-15 dalam masa 46 minit dalam satu lagi aksi separuh akhir.
"Saya rasa selesa dan bagus. Beliau menunjukkan peningkatan dalam set kedua tetapi saya mendapat kembali rentak dan saya berpuas hati dengan kemenangan saya.
Saya menjangkakan satu perlawanan yang sengit (dengan Naraoka). Kali terakhir kami bertemu ia sangat mencabar dan saya sedang melakukan persiapan untuk satu lagi perlawanan yang hebat esok,” kata Axelsen.
Bekas pemain nombor satu dunia dari Jepun Kento Momota hampir memenangi gelaran juara Terbuka Malaysia dua kali sebelum ditewaskan oleh jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei pada 2018 dan Axelsen pada 2022. - Bernama