ALOR SETAR - Hati wanita mana tidak hancur luluh apabila mengetahui dirinya dimadu apabila suaminya melangsungkan perkahwinan baharu dengan wanita lain tanpa pengetahuannya.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Azah, 34, berkata, rahsia disimpan suaminya itu mula dihidu selepas usia perkahwinan mereka mencecah usia enam tahun.
"Secara kebetulan, kami tinggal berjauhan memandangkan saya bekerja di sini, manakala suami menjalankan perniagaan sendiri di Muar, Johor.
"Walaupun tinggal berjauhan, namun perkahwinan dibina kami bahagia dan diserikan dengan kehadiran seorang cahaya mata lelaki,” katanya kepada Sinar Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN Perosak rumah tangga boleh dipenjara, denda
Azah berkata, dia cuba menyedapkan hati dan mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila suaminya makin berubah dan sukar dihubungi.
"Akhirnya semua terbongkar apabila salah seorang daripada rakan kami berdua tanpa sengaja menunjukkan kad per-kahwinan dan bertanya perkara itu kepada saya,” katanya.
Menurut Azah, dia memang terkejut dan sedih melihat kad perkahwinan tertera nama suaminya dengan wanita lain."Selepas itu saya cuba mendapatkan kepastian daripada suami, namun dia menafikan perkara tersebut dan mendakwa rakannya dengki kepada dirinya.
"Untuk menipu dan terus mengaburi mata saya, suami sanggup pulang ke Alor Setar selepas malam perkahwinan dia dengan orang ketiga itu,” ujarnya.
Bagaimanapun, Azah berkata, selepas itu, suaminya langsung tidak pulang selama setahun ataupun membalas mesej ataupun menjawab panggilannya.
"Suami mungkin rasa tercabar apabila melihat saya seakan-akan telah melupakan dirinya dan cuba kembali mendekati saya selepas terpandang foto kumpulan aktiviti pendakian disertai saya,” katanya.
Azah berkata, dia masih tidak memaafkan suaminya, namun menerima kembali lelaki itu kerana enggan memisahkan kasih sayang anaknya dengan bapa kandung.
"Sekarang suami telah kembali tinggal bersama saya dan anak di Alor Setar, bergilir-gilir dua minggu sekali ke Muar untuk bertemu dan tinggal bersama isteri kedua, namun sekali sekala saya akan menerima mesej daripada wanita itu seolah-olah saya yang merampas haknya.
Menurut Azah, suaminya dengan wanita berkenaan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki dan perkahwinan mereka kini telah mencecah empat tahun yang sememangnya tidak mendapat restunya sehingga kini.
"Tidak dinafikan perasaan sayang masih ada pada suami memandangkan kami berkenalan sejak sekolah menengah, namun hati yang hancur dengan pengkhianatan mereka masih terasa,” jelasnya.
Kata Azah, dia kini terus bertahan dan berusaha menyelamatkan rumah tangga mereka yang telah berusia hampir 10 tahun demi anak tersayang.