KUALA PILAH - Keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Negeri Sembilan akan ditambah 500 hektar daripada keseluruhan kira-kira 155,000 hektar ketika ini bagi memelihara flora dan fauna termasuk memulihara mutu alam sekitar.
Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaludin berkata, kerajaan telah menetapkan satu dasar iaitu kekalkan keluasan sedia ada dan berusaha menambah keluasannya.
"Kita sudah kenal pasti kawasan-kawasan yang terlibat antaranya kawasan tadahan air dan sekitar empangan... cuma kita dalam proses mewartakan kawasan tersebut yang mana sedia maklum proses berkenaan bukan satu perkara yang mudah dan mengambil sedikit masa.
"Ini antara usaha yang kita kena ambil, jaga kawasan hutan sedia ada dan bagaimana untuk memastikan ia kekal selain berusaha tambah kawasan berkenaan, walaupun sedikit tetapi itu yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas program pembukaan semula Taman Eko Rimba dan trek pendakian HSK di sini pada Ahad.
"... Dan daripada keluasan itu 60 peratus berfungsi sebagai hutan pengeluaran kayu, sejumlah 40 peratus daripadanya pula dijadikan sebagai hutan perlindungan iaitu melibatkan kawasan tadahan air, hidupan liar, penyelidikan, pelajaran Virgin Jungle Forest (VJR) dan hutan lipur," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Saleh berkata, projek baik pulih Taman Eko Rimba Jeram Toi di Jelebu dijangka dimulakan pada bulan Mac tahun ini melibatkan pembinaan infrastruktur dan kemudahan produk pelancongan di situ.
"Ia dijangka siap pada November ini dengan melibatkan peruntukkan berjumlah RM1 juta dan buat masa ini tiada sebarang aktiviti pendakian ataupun rekreasi di situ susulan masih tidak selamat untuk pengunjung selepas kejadian runtuhan tanah pada Disember 2021," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Taman Eko Rimba dan trek pendakian di negeri ini telah dibuka semula kepada orang ramai berkuat kuasa pada Sabtu.
Katanya, ia membabitkan 10 kawasan Tan Eko Rimba iaitu, Ulu Bendul, Batu Maloi, Jeram Tengkek, De Bana, Serting Ulu, Gunung Datuk, Gunung Tampin, Pasir Panjang, Lenggeng dan PD Forest.
"Manakala bagi trek pendakian pula adalah Gunung Angsi, Gunung Tampin, Gunung Datuk, Bukit Senaling, Bukit Baginda, Bukit Batu Sawa, Bukit Batu Beras, Bukit Perajah dan Bukit Galla," katanya.